Abidin (tengah) Fr Ambrose Atang dan umat lain bergambar selepas Misa Kudus
Oleh Clarence Dol
Apr 29 2023
RANAU – Umat Kristian di daerah ini diminta agar memberikan kerjasama erat kepada para pemimpin agama seperti Gembala, Pastor dan Paderi di sini agar penjagaan iman dapat dijalankan dengan lancar dan lebih efektif.
Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir memberitahu bahawa di kalangan pemimpin agama Kristian di daerah itu, walaupun mereka adalah Bumiputera tempatan, tapi bukan berasal dari Ranau berkata bahawa,“Mereka memerlukan kerjasama erat dan solidariti dari kita semua umat Kristian bagi melancarkan lagi pelayanan iman mereka, terutama di kawasan-kawasan kampung yang jauh di daerah ini.
“Ada sebahagian daripada pemimpin gereja kita tidak begitu mengetahui lokasi-lokasi gereja dan rumah ibadat di kawasan ini, dan perkara ini menjadi peranan kita untuk membantu mereka menyesuaikan diri di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Upcara Sambutan Paskah dan Sambutan Fr Ambrose Atang sebagai Paderi Paroki Ranau yang baru, yang diadakan di Gereja St Peter the Apostle, Paginatan pada 16 Apr lalu bersamaan dengan hari Ahad.
Menurut Abidin, umat-umat Kristian Katolik di sini harus bersyukur kerana diberikan Paderi Paroki yang baharu berasal dari Kg Nagapas Papar untuk melayani di daerah ini.
“Walaupun dari Gereja Sidang Injil Borneo (SIB), saya masih ingat pengalaman waktu kecil di mana kami belajar di Sekolah Mission yang dipimpin oleh para paderi dari Barat yang memberikan pembelajaran yang baik kepada kami.
“Pada hari ini kita bersyukur kerana ramai di kalangan masyarakat tempatan sendiri yang telah ditahbiskan menjadi para gembala umat-umat di Sabah, khususnya di daerah Ranau.
“Saya menyeru kepada jemaat-jemaat, khususnya di kawasan Paginatan agar memberikan bantuan serta kerjasama yang erat kepada Fr Ambrose dalam pelayanannya di sini,” katanya.
Sementara itu, Abidin turut menjamin bahawa laluan-laluan seperti jalan raya serta jambatan yang rosak di kawasan tersebut akan sentiasa diberikan tumpuan dan diusahakan untuk dibaiki.
“Ini”, kata beliau, “bagi memudahkan perjalanan semua penduduk, termasuk juga para pemimpin-pemimpin gereja di sini yang kerap berkunjung ke kampung-kampung yang jauh.
“Dalam masa yang sama”, kata beliau, “usaha bagi mendirikan sebuah pekan kecil di Paginatan masih lagi diteruskan dan kini ia pada peringkat penelitian oleh agensi pelaksana iaitu LPPB”.