
Team Turun Ladang KSFX terpaksa menarik kereta yang tidak melalui jalan yang teruk untuk sampai ke KUK, Fr David Gasikol kiri
Oleh Didiroy, KSFX
Aug 12 2020
KENINGAU – Team Turun Ladang (TTL), Katedral St Francis Xavier (KSFX) membuka tirainya pada tahun ini dengan lawatan dan Misa Kudus sejauh 150 km di KUK Pohon Batu, KUK Lumiri Tengah dan KUK Pengaraan pada 27-31 Julai lalu yang bertemakan “La Chiesa In Ucita” bermaksud Gereja Sedang Berjalan Keluar.
Perjalanan TTL kali ini disertai oleh Fr David Gasikol dan Seminarian Wilfred Lakun. Selama lima hari pelayanan ini, pelbagai pengalaman suka duka kami rasai terutamanya perjalanan itu sendiri yang mengambil masa yang panjang di atas jalan yang mencabar.
Pada hari pertama kami bertolak daripada katedral, perjalanan mengambil masa lebih daripada lapan jam ke KUK Lumiri. Daripada Lumiri, kami sepatutnya bertolak ke KUK Pengaraan pada hari yang sama namun jadual itu terpaksa dibatalkan kerana jalan yang tidak baik dan hari sudah mulai gelap.
Selesai program di Lumiri pada hari kedua, kami meneruskan perjalanan ke KUK Pengaraan pada jam 1.00 petang dan hanya sampai di KUK tersebut pada jam 2.00 pagi. Ini merupakan perjalanan yang benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental.

Fr David terpaksa mencangkul jalan agar kenderaan dapat lalui
Perjalanan ke KUK Pengaraan memakan masa selama 12 jam kerana jalannya licin, berlubang, berlopak dan terputus yang hanya menggunakan “Kayu Balak” sebagai alternatif penghubung. Kami juga terpaksa membatalkan perjalanan ke KUK Tatalan kerana jalan penghubung terputus dan tidak dapat dilalui walaupun oleh kenderaan pacuan empat roda.
Kali terakhir lawatan paderi ke KUK Pengaraan adalah pada bulan Julai 2019. Tim kami berada di KUK ini selama dua hari, umat berasa gembira kerana akhirnya selepas setahun, seorang paderi datang melawat dan memberikan Misa Kudus dan mereka dapat menerima Komuni Kudus.
Semasa Misa Kudus di Pengaraan, Fr David menyempurnakan sakramen-sakramen gereja kepada umat. Seramai tujuh orang bayi menerima sakramen pembaptisan, dua umat menerima sakramen inisiasi, tiga umat menerima sakramen penguatan dan tiga pasangan mendapat berkat kahwin.

Fr David memberi pemberkatan kahwin kepada pasangan suami isteri ini
Pengerusi MPP KSFX turut menyumbang 40 bungkusan bantuan MPP Prihatin berupa barangan keperluan harian kepada umat di semua KUK yang kami lawati. Bantuan Prihatin ini merupakan usaha pihak MPP KSFX sejak Mac lalu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk membantu umat yang terjejas oleh pandemik.
Selepas misi dan tujuan selesai di KUK Pengaraan, kami meneruskan perjalanan ke KUK Pohon Batu pada hari keempat dan ketibaan kami disambut oleh Katekis Paulus. KUK ini mempunyai 23 keluarga yang kebanyakannya beragama Katolik. Mereka bersyukur kerana penantian hampir setahun akan kehadiran seorang paderi akhirnya telah tiba.
Sesi perkongsian dan ramah mesra diadakan pada sebelah malam, Fr David meluangkan masa mendengar permasalahan dan keluhan umat di samping memberi nasihat dan jalan penyelesaian yang terbaik.
Paderi muda itu berpesan, “Kita sedari bahawa tiada yang mustahil bagi orang yang percaya dan mengutamakan Tuhan di dalam segala perkara, hiduplah dalam semangat cinta kasih, kerendahan hati dan saling mengampuni, bersatu dengan Kristus, nescaya hidup kita akan dijiwai oleh iman yang hidup yang membuahkan kasih dan kebaikan bagi sesama.”

Fr David memberi sakramen penguatan kepada umat di KUK Pohon Batu
Keesokan harinya dalam Misa Kudus, Fr David memberi sakramen inisiasi kepada tiga umat di KUK ini. Di dalam homilinya, dia berkata “Walaupun jarak yang jauh memisahkan kita namun kita tetap berjalan dalam landasan yang sama iaitu Umat Allah Berjalan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.”
Dia juga mengingatkan umat bahawa menerima sakramen bermaksud kita telah diperbaharui iaitu dibaptis dan diutus dengan misi mewartakan Kristus.
Paderi muda itu sekali lagi mengingatkan umat agar sentiasa teguh dalam iman, tidak dinafikan bahawa terdapat kumpulan individu yang akan datang membawa fahaman agama lain dengan memberi pelbagai kemudahan serta kelebihan sekiranya umat sanggup menukar status Katolik kepada agama lain.
Fr David berkata apa yang ditawarkan kepada umat itu adalah bersikap duniawi dan sementara dan dalam menghadapi permasalahan hidup, Yesus pernah berkata bahawa “Aku menyertai kamu sentiasa sampai akhir zaman” Mat 28:20.
Saksikan video perjalanan pelayanan Team Turun Ladang ini.

Semua KUK yang telah dilawati oleh Team Turun Ladang KSFX