
Oleh Herald Malaysia
TELUPID – Meski ada yang berkata jalan mengikuti iman Katolik itu sulit, namun 131 baptisan baharu yang dibaptis di Gereja St Martin Telupid pada malam Paskah lalu mengatakan Tuhan sentiasa membantu dan menyediakan jalan.
Sempena pesta Pentakosta yang dirayakan oleh Gereja Katolik sejagat pada 8 Jun 2025, beberapa baptisan baharu berkongsi pengalaman iman mereka dengan HERALD.
Arnie Petrus, 20, salah seorang yang dibaptis pada malam Paskah lalu, berkongsi beliau menjadi pengikut Kristus bukan soal keagamaan semata-mata namun mahu menyerahkan seluruh hidup kepada-Nya.
“Saya ingin menjadi berkat bagi keluarga saya dan orang-orang di sekitar saya dan saya mahu melayani Tuhan dengan sepenuh hati.”
Maslinah Silang, 61, mengakui usia ‘matang’ menyebabkan beliau selalu lupa dan kesihatan selalunya tidak mengizinkan.
Namun, apa yang membuatkan Maslinah, seorang Anglikan, menyertai Gereja Katolik kerana suaminya seorang Katolik dan anak-anaknya membesar sebagai Katolik. Mereka menerima sakramen sejak kecil, sedangkan Maslinah masih seorang Anglikan.
Selepas menyertai Upacara Penerimaan Penuh Dalam Kesatuan Gereja Katolik pada malam Paskah lalu, Maslinah kini aktif dalam pelayanan Kerasulan Wanita Katolik dan warden.
Suriadi Sharifuddin, seorang penganut Sidang Injil Borneo (SIB) tidak terfikir untuk menjadi ahli Gereja Katolik meskipun telah berumah tangga dengan seorang wanita Katolik pada tahun 2010.
Biarpun mengambil masa selama 14 tahun untuk membuka hatinya menerima iman Katolik, namun Suriadi kini lebih memahami ajaran Gereja Katolik serta lebih tekun berdoa.
Nomilla Erica Philip, 26, dilahirkan dan dibesarkan dalam Gereja Anglikan. Dalam perjalanan imannya, Normilla juga pernah beribadat di sebuah gereja yang dipanggil Pelita Cahaya.
Beliau memutuskan untuk mengikuti kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) pada tahun 2024/2025 kerana saya tidak mahu mengalami perkahwinan campur.
Baginya perbezaan iman agama akan memberi kesan kepada anak-anak.
Normilla mengakui kelas IKD menyebabkannya jatuh cinta dengan doa-doa Katolik, tentang damai, harapan dan sakramen-sakramen Gereja.
Normilla juga bertuah kerana menerima bimbingan daripada penanggungnya dalam menjawab persoalan-persoalan iman Katolik.
Sejak awal pemilihan katekumen, sepanjang siri upacara tobat 1, 2 dan 3 sehinggalah dibaptis dan bergelar neofit, paderi paroki St Martin, Fr Christopher Ireneus menegaskan bahawa menjadi Katolik adalah satu pilihan dan merupakan panggilan Ilahi.
Beliau berpesan kepada para baptisan baharu agar sentiasa mempertahankan iman mereka walaupun berhadapan dengan cabaran, terutama dalam memilih pasangan hidup. – Herald Malaysia