Uskup Agung John Wong memimpin Misa Kudus online sempena Sambutan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia Ke-107 pada 26 Sep. Dia dibantu oleh Fr Ambrose Atang, Penasihat Rohani Komisi Pelayanan Pastoral Migran dan Perantau, Keuskupan Agung Kota Kinabalu
Oleh Linda Edward
Sep 30 2021
Sambutan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia 2021
PENAMPANG – Uskup Agung John Wong menyeru umat agar tidak membezakan warna kulit atau status kewarganegaraan seseorang apabila menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas oleh pandemik malah oleh kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku baru-baru di sini.
Uskup Agung berkata kesan pandemik, banjir kilat dan tanah runtuh tidak memilih orang dan di dalam usaha memulih keadaan negara, janganlah sesiapa pun membezakan samada seseorang itu orang tempatan atau orang asing.
“Mari kita belajar menghulurkan tangan dan merangkumi semua dalam perbualan kita, tanpa membezakan warna kulit, budaya, kepercayaan, status atau kewarganegaraan.
“Hanya dengan semangat kekitaan seperti ini kita akan dapat mengatasi dan dapat kembali kehilangan dan kerugian kita,” ujarnya.
Dia berkata ini semasa Misa Kudus online merayakan Sambutan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia Ke-107 pada 26 Sep lalu di residensinya, St John Vianney’s Home di sini.
Komisi Pelayanan Pastoral Migran dan Perantau (KPPMP) Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah mengendalikan Misa Kudus tersebut dengan bantuan Komisi Pelayanan Belia Keuskupan Agung, dengan kehadiran komuniti migran Filipino dan Indonesia dari Katedral Paroki Hati Kudus.
Pius Kapitan Bernadus dan Ignasius Papandi dari Komuniti Indonesia K3IKA berkata mereka sangat gembira dan berterima kasih kepada KPPMP kerana walaupun semasa pandemik, mereka masih berkesempatan menghadiri Misa perayaan Hari Migran.
“Kami rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kerana bisa ketemu dengan komuniti yang lain walaupun setiap komuniti hanya diwakili oleh satu atau dua orang tetapi acara perayaan ini tetap berjalan,” kata Pius.
Mereka juga berkata bahawa KPPMP banyak membantu mereka khususnya dari segi kerohanian dan semasa musim pandemik.
“Selama pandemik ini, mereka membantu dalam bahan-bahan makanan asas dan keperluan seharian,” kata Ignasius.
“Sekiranya kami perlu bantuan dari segi kerohanian dan untuk berurusan dengan gereja, KPPMP juga membantu, contohnya dalam soal pembaptisan, anak-anak yang datang ke Sekolah Minggu dan dari segi sosial, kami dibantu dalam soal tanah perkuburan,” tambah mereka.
Sementara itu Naty Doughty dari Komuniti Filipino berkata dia sangat gembira dan berpuas hati dengan perayaan sederhana Hari Migran pada hari itu.
“Saya gembira kerana dapat merayakan bersama dan pada masa yang sama mengangkat semua keperluan migran di dalam doa,” kata Naty.
Naty sudah lama menetap di Sabah sejak tahun 80-an dan telah membantu ramai migran Filipino yang merantau ke negeri ini.
“Sejak usia muda, saya cuba sedaya upaya melibatkan diri membantu mereka dan akan teruskan usaha ini selagi saya masih hidup.
“Kami banyak menjangkau kepada umat Katolik Filipino dan menggalakkan mereka untuk menyertai Komuniti Filipino di Katedral agar mereka tidak kekurangan rahmat rohani daripada Tuhan kita,” tambahnya.
Pada tahun ini, Bapa Suci Fransiskus mendedikasikan perayaan Hari Migran dan Pengungsi Sedunia Ke-107 kepada tema “Menuju KITA yang lebih luas”.
Tema ini memberi penekanan bahawa umat perlu bersikap lebih inklusif dalam pemikiran dan perbuatan agar semua perbuatan baik yang dilakukan di dunia adalah untuk generasi sekarang dan masa hadapan.
Bapa Suci memanggil semua umat Katolik agar membuka pintu hati kepada mereka yang telah meninggalkan tanah air dan merantau ke tempat lain untuk kelangsungan hidup.
Dia berkata semasa Angelus pada 26 Sep bahawa semua dipanggil untuk “membina dunia yang lebih inklusif, yang tidak mengetepikan sesiapa pun”.