Umat paroki Katedral Hati Kudus bersama paderi-paderi paroki dan Msgr Nicholas semasa Katekesis Perayaan Kaamatan di katedral pada 29 Apr 2024

Oleh Jarisah Gondikit (Sacred Heart Cathedral) Kredit Foto: SHCKK SOCCOM

Mei 8 2024

KOTA KINABALU – “Kekayaan Alam: Anugerah Tuhan, Tanggungjawab Kita” merupakan tema perayaan Kaamatan peringkat paroki Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu pada tahun ini. Sempena dengan perayaan ini pihak penganjur Komiti Pastoral Bahasa Malaysia telah menjemput Msgr Nicholas Stephen yang juga merupakan pengerusi tetap perayaan Kaamatan peringkat Diosis Kota Kinabalu untuk menyampaikan katekesis berkaitan dengan tema yang telah dipilih pada 29 Apr 2024.

Program yang bermula pada jam 7.00 – 10.00 malam telah dihadiri seramai lebih kurang 250 umat daripada pelbagai komiti termasuk anak didik PMG dan IKD berlangsung di dewan paroki. Ia dimulakan dengan pentakhtaan Alkitab dipimpin oleh paderi paroki Fr Paul Lo. Dalam perkongsian singkatnya Fr Paul telah menyatakan bahawa Yesus sendiri telah dilahirkan dalam satu budaya iaitu budaya Yahudi. Oleh itu, umat juga harus bangga untuk merayakan perayaan kebudayaan sendiri yakni perayaan Kaamatan. Turut hadir mendengar katekesis ini ialah Fr Russel, Fr Terans dan Seminarian Yosef Yup.

Mengulas petikan dari KGK 349, Msgr Nicholas mengatakan bahawa kebangkitan Kristus dari kematian menjadikan penciptaan baru, melampaui yang pertama dan sangat sempurna. Yesus telah mengorbankan diriNya untuk menebus dosa manusia agar manusia memperoleh hidup kekal. Dalam konteks budaya pula, kisah lagenda ‘Huminodun’ telah dikorbankan agar tanah menjadi subur dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan mengeluarkan hasil yang berlimpah-limpah untuk kehidupan manusia dan haiwan. Oleh itu, umat harus merasa syukur.

Paderi paroki Fr Paul Lo memberi penghargaan kepada Msgr Nicholas Stephen

Bapa Suci telah mengeluarkan Ensiklik ekologi untuk mengingatkan kerosakan alam yang semakin parah akibat kerakusan manusia yang mengejar pembangunan secara tidak terancang. Sejarah awal penciptaan bumi, Tuhan sememangnya telah memberikan tanggungjawab kepada manusia untuk menjaga dan memelihara bumi serta segala isinya. Msgr Nicholas mengingatkan juga tentang seruan Bapa Suci akan peringatan hari doa dan perawatan ciptaan Tuhan. Doa harus diikuti dengan tindakan, katanya.

Msgr Nicholas menyeru agar manusia mula menanam benih pokok di mana sahaja yang bersesuaian. Hutan adalah paru-paru bumi. Pokok yang ditanam pada hari ini adalah untuk generasi akan datang. Merayakan Kaamatan, kebersihan alam sekitar juga harus dijaga. Semangat pengorbanan dan kekitaan harus dipelihara. Menurutnya lagi, para petani juga harus dibawa dalam doa kerana kerja keras mereka memberikan kita beras dan hasil tanaman sebagai sumber makanan.

KGK 341 Keindahan alam semesta mencerminkan keindahan pencipta yang tidak terbatas. KGK 344 Antara semua makhluk terdapat suatu solidariti, kerana semua mempunyai Pencipta yang sama. Memetik dua petikan ini, Msgr Nicholas menyeru agar manusia terus bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam yang telah dianugerahi. Tuhan yang memberi semua makhluk kehidupan. Tanpa alam, Kaamatan dirayakan tanpa makna. Msgr juga telah mengambil kata-kata yang dipinjam dari puak Red Indian yang memberi makna sangat mendalam berkaitan dengan penjagaan bumi yakni, “kita tidak mewarisi bumi ini dari nenek moyang kita, kita meminjamnya dari anak-anak kita.”

Sesi katekesis diakhiri dengan dua soalan refleksi diri. Pertama, siapakah yang bertanggungjawab merosakkan alam semulajadi yang Tuhan telah ciptakan? Kedua, siapakah yang bertanggungjawab menjaga dan memulihkan alam semulajadi yang Tuhan telah ciptakan?