Oleh Beatlvina Bianus
KENINGAU – Dataran Keuskupan Keningau dibanjiri umat beriman seawal jam 4.30 petang untuk perayaan Misa Krisma dan Pembaharuan Janji Kesetiaan para paderi Keuskupan Keningau pada 15 Apr 2025. Perayaan itu merupakan acara yang sarat dengan makna dan kekuatan rohani.
Turut hadir dalam perayaan Misa Kudus tersebut ialah Sister Putri Karmel dan Brother Carmelitae Sancti Eliae (CSE), Sister dari kongregasi Order of St Clara (OSC) dan Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), dan ramai lagi.
Misa Kudus bermula pada jam 6.30 petang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong di mana dia mengajak umat mengingati doa Yesus sebelum kembali kepada Bapa yang menekankan kepentingan hidup dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan.
Uskup Cornelius menegaskan bahawa panggilan sebagai paderi bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut komitmen yang mendalam untuk memimpin dan membangun iman umat Katolik. Prelatus mengingatkan bahawa Tuhan sentiasa hadir serta menyertai dalam perjalanan iman umat-Nya. Turut menggariskan tiga perkara utama yang didoakan oleh Yesus sebelum kembali kepada Bapa:
- Hidup dalam kesatuan: menjadi keutamaan bagi umat Kristian Katolik menunjukkan semangat kesatuan seperti yang ditunjukkan oleh Yesus kepada umat-Nya tidak kira di mana mereka berada, dan keluarga perlu menjadi teras komuniti yang hidup dalam kasih agar dapat membentuk umat yang hidup dalam kesatuan.
- Perlindungan dari kejahatan: Doa itu diungkapkan dengan sahutan umat untuk terus hidup dalam kesetiaan kepada Kristus. Cabaran dan godaan para paderi dan umat untuk berjalan bersama sudah pasti ada kerana roh-roh jahat tidak mahu pengikut Kristus hidup dalam kesetiaan. Oleh yang demikian, prelatus mengingatkan kepada para paderi, para religius dan umat perlu sentiasa peka terhadap godaan dan cabaran itu, serta tidak jemu berdoa memohon perlindungan daripada segala kejahatan.
- Hidup dalam kekudusan: Setiap hari adalah penting untuk umat-Nya membaca, mendengar dan merenung firman Tuhan. Firman Tuhan menjadi panduan yang betul dalam membangun paroki dan komuniti gereja.
Uskup turut menyeru agar segala bentuk pelayanan di paroki dan gereja dilaksanakan bersama, dengan sikap saling menghormati antara paderi dan umat. Dengan adanya keyakinan dan iman akan kehadiran Roh Kudus dalam membimbing kita, keluarga dan komuniti maka kita dimampukan untuk hidup dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.
Seramai 27 orang paderi daripada Keuskupan Keningau serta lapan orang Romo dari Indonesia telah memperbaharui janji kesetiaan mereka di hadapan Uskup Cornelius Piong disaksikan oleh ribuan umat beriman.
Seusai itu, perarakan tiga jenis minyak yang dibawa oleh klerus diiringi oleh pelayan altar yang membawa lilin menuju ke hadapan altar; minyak katekumen oleh Fr David Gasikol, minyak orang sakit oleh Fr Kennedy Nakudah Killin, dan minyak Krisma oleh Fr Appolonius Yakis. Prelatus memberkati setiap minyak tersebut bersama dengan para paderi dan pemberkatan minyak yang dibawa oleh umat pula dilaksanakan selepas doa penutup. Sesi bergambar turut diadakan, dimulakan dengan Uskup dan para paderi, diikuti oleh semua umat yang hadir sebagai simbolik kesatuan dan kenangan bersama.
Dalam kesempatan yang sama, Uskup mengumumkan pertukaran paderi di Keuskupan Keningau. Bermula 1 Mei 2025, Fr Gilbertus J Engan akan bertugas di St Valentine, Beaufort sebagai paderi paroki dan dibantu oleh Fr Kennedy Nakudah Killin.
Fr Ronnie Alfred Luni dan Fr Francis Dakun pula akan melayani di Katedral St Francis Xavier Keningau, manakala Fr Lazarous Uhin akan membantu di Paroki Holy Cross Tambunan dan Fr David Mamat melayani di St Bede Nabawan.
Bermula 1 Jun 2025, Paroki Roh Kudus Sook akan dilayani oleh paderi yang sama tetapi Fr Phillip A. Muji menjadi paderi paroki yang baharu kerana Fr Clement Abel akan bertugas di Gereja Bonda Maria Mission Kemabong. Pertukaran ini diharapkan dapat memperkukuh pelayanan gereja dan mempereratkan lagi hubungan antara paderi dan umat.
Perayaan Misa Krisma dan Pembaharuan Janji Kesetiaan itu bukan sahaja menandakan kesetiaan para paderi kepada uskup, malah turut mengukuhkan jalinan kasih dan komitmen antara paderi dan umat. Dengan semangat kesatuan dan kekudusan, seluruh umat yang hadir diharap terus membangun iman dan saling menyokong dalam perjalanan rohani mereka.