
Oleh Wilson Chieu & Petronella Nandu
TAMBUNAN – Komuniti Tritunggal Mahakudus (KTM) mengadakan rekoleksi di St Yohanes, Pertapaan Karmel Kaingaran Tambunan, Sabah pada 4-6 Apr 2025 dengan tema “Gembalakanlah kawanan domba Tuhan yang ada padamu, jangan dengan paksa, tetapi dengan sukarela sesuai dengan kehendak Tuhan, dan jangan kerana mahu mencari keuntungan. Tetapi dengan pengabdian diri. (1 Ptr 5:2)”
Rekoleksi itu menghimpunkan seramai 63 ahli termasuklah dua orang gembala KTM Sabah. Mereka yang hadir berasal dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu iaitu daerah Kota Kinabalu dan Papar. Manakala Keuskupan Keningau pula adalah dari daerah Beaufort, Kuala Penyu, Tenom, Keningau dan Tambunan.
Objektif rekoleksi itu diadakan adalah untuk menyemarakkan kembali semangat untuk terus menggembala dan mengembangkan KTM yang ada di Sabah.
Rekoleksi dimulakan dengan Misa Karismatik pembukaan yang dipimpin oleh Romo Liberatus Mayabubun pada hari pertama, manakala Misa Kudus pada hari kedua dan ketiga dipimpin oleh Fr Giovanni C Sugau, CSE.
Rekoleksi sepanjang tiga hari dan dua malam itu diisi dengan program seperti doa meditasi, sesi pengajaran dan pembelajaran, sesi perkongsian, pujian dan penyembahan, persekutuan doa, adorasi serta pertemuan inti iaitu mesyuarat ahli jawatankuasa tertinggi KTM wilayah Sabah.
Terdapat juga sesi perbincangan dalam kelompok yang memfokuskan kepada pelayanan seorang pelayan sel Komuniti Tritunggal Mahakudus. Ahli-ahli dibahagikan kepada 10 kelompok kecil dan diberikan tajuk untuk dikupas. Selepas perbincangan, wakil dari setiap kelompok akan membentangkan hasil perkongsian mereka.
Komuniti Tritunggal Mahakudus yang pertama ditubuhkan di Keuskupan Keningau pada 19 Mac 2005 dan Uskup Cornelius Piong sebagai penasihat rohani kepada komuniti itu. Pada awal penubuhan, KTM dipelopori oleh 18 ahli sahaja. Kini selepas 10 tahun berlalu, KTM menjadi satu komuniti yang semakin matang dan jumlah ahlinya juga telah bertambah.
Antara program kerohanian komuniti itu ialah mengadakan pertemuan sel sebanyak dua kali dalam sebulan dari rumah ke rumah setiap anggota sel secara bergilir. Selain itu, setiap ahli juga menghadiri pengajaran pelayan sel yang dikendalikan oleh Sister Putri Karmel dan Brother dari kongregasi Carmalitae Sancti Eliae (CSE).
Di masa akan datang, KTM berazam akan lebih kerap membantu dan melayani di dalam gereja. Di samping menganjurkan retret awal dan retret penyembuhan batin, ahli-ahli KTM juga sering membantu Sister Putri Karmel dan Brother CSE mengendalikan program di Pertapaan Karmel Kaingaran Tambunan. Ada yang bertugas di bahagian pantri dan dewan makan, ada yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa kebersihan dan kecemasan. Selebihnya, ahli-ahli KTM menjadi peneraju bersama dalam sesi pujian dan penyembahan setiap kali retret dianjurkan.