
Oleh Herald Malaysia
PENAMPANG – Paroki St Michael Penampang berjaya menganjurkan program katekesis pada 30 Apr 2025 iaitu sehari sebelum Perayaan Kamaatan peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Turut hadir ialah Uskup Agung Wojciech Zaluski, Nunsio Apostolik ke Malaysia.
Msgr Nicholas Stephen selaku Pengerusi Tetap Perayaan Pesta Kaamatan Keuskupan Agung Kota Kinabalu menyampaikan sesi katekesis bertema Kaamatan.
Beliau menekankan kepentingan memelihara identiti dan bahasa (Kadazan-Dusun-Murut-Rungus/ KDMR) dan menggalakkan generasi muda KDMR untuk menggunakan serta bertutur dalam bahasa ibunda mereka, sebagai satu langkah penting dalam memelihara warisan dan jati diri budaya.
Msgr Nicholas menegaskan bahawa kebudayaan adalah aspek penting dalam identiti umat beriman, dan merayakan kepelbagaian sambil mengakui identiti yang bersatu dalam Kristus adalah inti kepada kesaksian Kristian.
Paderi itu juga mengingatkan bahawa Gereja Katolik mengajar bahawa setiap budaya memiliki nilai dan keindahan tersendiri yang dapat memperkaya iman mereka.
Msgr Nicholas menutup sesi dengan mesej mendalam bahawa budaya kita adalah ekologi kita — satu persekitaran di mana iman, identiti dan tradisi dapat hidup bersama dan berkembang secara harmoni.
Selepas itu, para hadirin menonton tayangan video mengenai Huminodun oleh Friar Gerald, diikuti dengan ceramah mengenai Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai Kadazan oleh Blasius Binjua.
Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional Sumazau oleh belia Zon Penampang dan tarian Mogunatip oleh kumpulan ERA Budaya Sabah. – Herald Malaysia