
Oleh Herald Malaysia
SANDAKAN – Para pelayan Altar di Katedral St Mary mempunyai program tahunan yang biasanya dianjurkan semasa Minggu Suci.
Aktiviti tahunan itu ialah Kem Pelayan Altar sebagai persediaan Minggu Suci dan perayaan-perayaan liturgi Paskah.
Pelayan senior tiba di Pusat Kateketikal Fr Mulders pada Apr 17, untuk melakukan kerja pembersihan dan persiapan untuk kem.
Pada Apr 18, semua palayan Altar mengambil bahagian dalam Jalan Salib di Katedral St Mary.
Kemudian, Stephen Simeon, seorang pelayan Altar senior, menyampaikan taklimat tentang Hari Jumaat Agung.
Gerard Chong dan Adriel Jared, dua pelayan altar dari Katedral, juga membantu Diakon Ricki Boy untuk liturgi Jumaat Agung di Gereja St Peter di Sg Manila.
Sesi pertama,”Pengenalan kepada Pelayan Altar” telah dikendalikan oleh Gerard Chong. Beliau bercakap tentang tata gerakan pelayan Altar yang sesuai, disiplin berdasarkan pengalamannya sendiri.
Sesi seterusnya dikendalikan oleh Marshall Owen yang dipanggil “Ignis Dei – Serve with Faith and Fire.”
Objektif sesi ini adalah untuk menggalakkan semua pelayan untuk melayani dengan semangat dan komited, menggalakkan mereka untuk memastikan “api pelayanan” terus menyala di dalam hati mereka untuk Tuhan.
Pada Apr 19, sesi khas dan taklimat oleh Diakon Ricki Boy, menekankan tentang Vigil Paskah dan peranan penting pelayan Altar.
Diakon Ricki menekankan bahawa pelayanan Altar merupakan panggilan dari Tuhan, dan pelayan Altar memainkan peranan penting bukan hanya semasa Misa, tetapi dalam semua perayaan liturgi.
Beliau juga mengingatkan para pelayan untuk sentiasa berwaspada dan peka, kerana mereka adalah figura yang membawa orang ramai untuk merasai kekudusan semasa acara-acara suci ini.
Kem berakhir pada Hari Minggu Paskah. Para pelayan Altar pulang dengan pembaharuan rohani dan penyegaran komitmen dalam melaksanakan panggilan mereka. – Herald Malaysia