
FR Stanley Matakim, paderi paroki St Dominic Lahad Datu dari Keuskupan Sandakan, teruja menghadiri Jubli para Remaja di Vatikan dan upacara kanonisasi Carlo Acutis. Namun, tanpa disangka, Bapa Suci Fransiskus meninggal dunia pada 21 Apr 2025 dan Misa Kanonisasi Carlo Acutis juga ditunda.
Namun perjalanan ziarah Fr Stan tidak sia-sia, malah menjadi satu berkat kerana selain dapat menghadiri upacara penghormatan dan berkesempatan mengunjungi makam mendiang Bapa Suci Fransiskus, beliau dapat berhimpun dengan para remaja sedunia serta mengunjungi pelbagai tempat rohani terkenal.
Berikut merupakan perkongsian Fr Stanley.
Menyertai Jubilee of Teenagers di Vatikan adalah pengalaman iman yang luar biasa dan tidak dapat dilupakan dalam hidup saya. Saya datang bersama rombongan remaja dari pelbagai negara, semua dengan satu semangat: merayakan iman, pengharapan dan cinta di tengah-tengah dunia yang penuh cabaran ini.
Salah satu pengalaman paling mendalam ialah saat saya dapat melangkah melalui Pintu Suci di Basilika Sto Petrus, Basilika Santa Maria Major, Basilika Sto Petrus dan Sto Paulus, Basilika Sto Paulus di Luar Tembok dan beberapa tempat lagi seperti Assisi, Chapel Carlos Acutis dan Chapel St Clare di Assisi.
Dengan hati yang penuh syukur, saya masuk sambil membawa doa-doa peribadi, pergelutan hidup dan harapan sebagai seorang paderi. Rasanya seperti benar-benar memasuki pelukan kerahiman Tuhan. Saya berasa diampuni, diperbaharui dan dikuatkan untuk terus berjalan dalam terang-Nya.
Misa penutup bersama ribuan remaja dari seluruh dunia menjadi lambang persaudaraan yang menyentuh hati. Kami berdoa, bernyanyi dan bersyukur bersama, merasakan Gereja sebagai rumah yang hidup dan penuh kasih.
Malahan ada perkara yang menggetarkan jiwa saya, iaitu mempunyai kesempatan mengikuti penghormatan terakhir bagi arwah Bapa Suci Fransiskus. Kami menyampaikan doa, rasa terima kasih dan duka yang mendalam atas wafatnya, gembala tercinta yang begitu peduli terhadap kaum muda. Meskipun duka terasa begitu nyata, kami juga disemangati oleh warisan iman dan cinta yang ditinggalkannya.
Daripada pengalaman ini, saya ingin menyampaikan pesan kepada teman-teman muda, jangan takut untuk melayani, jangan ragu untuk menyahut panggilan Tuhan dalam hidupmu.
Dunia memang penuh dengan cabaran dan suara-suara yang menyesatkan tetapi Tuhan memanggil kita bukan kerana kita sempurna melainkan kerana Dia ingin memakai hidup kita untuk menjadi berkat-Nya. Percayalah, melayani bukan beban tetapi kehormatan. Menjawab panggilan Tuhan bukan bererti kehilangan masa muda sebaliknya menemukan makna terdalam dari hidup ini. Marilah kita menjadi terang bagi dunia, mulai dari hal kecil dari tempat kita masing-masing. Tuhan memanggil, apakah kita mahu menjawab? – Herald Malaysia