
Herald Malaysia
BENTONG – Uskup Agung Julian Leow telah memberikan pelayanan Sakramen Krisma kepada empat penerima krisma di Gereja Hati Kudus, baru-baru ini.
Dalam ritus Penguatan ini, Uskup Agung Julian telah dibantu oleh paderi paroki, Fr Clement Lim.
Dalam homilinya, Uskup Agung Julian menekankan perpaduan sebagai ciri khusus Gereja Katolik.
“Salah satu ciri utama Gereja Katolik ialah kesatuan—kita mempunyai satu iman, satu pembaptisan, dan satu Tuhan,” katanya.
“Gereja Katolik ialah Gereja Apostolik yang telah melayani dunia selama lebih 2,000 tahun.”
Prelatus itu menjelaskan sejarah awal Gereja yang menghadapi banyak cabaran misalnya godaan ajaran sesat dan penganiyaan.
Bapa Uskup Agung mengajak umat untuk memperkuatkan kesatuan melalui perayaan Ekaristi dan pelayanan.
Beliau mengingatkan tentang doa Yesus, yang mendoakan kita agar kita semua menjadi satu.”
“Walaupun terdapat banyak denominasi Kristian, kita tetap dan seharusnya terus berdoa untuk perpaduan. Meskipun ada banyak perbezaan dalam doktrin namun kita boleh bekerjasama dalam banyak bidang, misalnya menangani masalah sosial dan ekologi.”
Menekankan peranan Roh Kudus, Uskup Agung Julian mengingatkan umat bahawa Roh membawa kebenaran dan kejelasan, mengesahkan bahawa Yesus adalah wahyu penuh dan akhir Tuhan.
“Tidak ada ajaran baru selepas Yesus,” katanya. “Roh Kudus mendedahkan dan mengesahkan semua yang diajarkan oleh Yesus.” Uskup Agung juga menggesa umat untuk meneladani Sto Stefanus, martir pertama, yang meskipun diancam hebat namun mempertahankan imannya hingga akhir hayatnya.
Uskup Agung Julian juga menjelaskan bahawa Gereja Katolik mempunyai Magisterium dan ajaran Gereja bagi membimbing umat dalam kebenaran dan keaslian interpretasi Firman Tuhan.”
Prelatus itu mengakhiri homilinya dengan menekankan penggunaan AI, yang boleh membantu dan meningkatkan kualiti hidup tetapi juga melekakan.
Fr Clement Lim dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada para krismawan dan mengungkapkan rasa terima kasih kepada Uskup Agung Julian kerana datang ke Bentong untuk melawat komuniti paroki kecil di Pahang. Fr Clement turut menyeru orang muda Katolik agar berani ke hadapan dan melibatkan diri dalam pelbagai pelayanan Gereja. – Herald Malaysia