
Oleh Aloysius Irenaeus Dukson
PLENTONG – Faith Unshaken- Serving & Inspiring merupakan tema bagi penganjuran program Malacca Johore Catholic Campus Day. Perancangan program ini telah diilhamkan pada lima tahun lepas namun disebabkan pandemik, program ini terpaksa ditangguhkan.
Pada tahun ini, dengan kerjasama MJDYPN dan Campus In Action (C.I.A), MJCCD 1 telah berjaya dianjurkan selama dua hari satu malam di Pusat Majodi, Plentong.
Seramai 77 pelajar Katolik dari pelbagai kampus Melaka dan Johor antaranya UTM, UiTM, MMU, UTeM, UTHM dan Politeknik, telah menghadiri program ini.
Bersahabat dengan Yesus dan sesama
Antara maklum balas yang diterima daripada para peserta ialah perhimpunan tersebut telah mengingatkan mereka kembali tentang panggilan Tuhan sekaligus menjadi pembimbing kepada rakan-rakan di kampus masing-masing.
Mereka juga mengatakan bahawa iman harus tetap utuh dan tidak mudah goyah apabila melayani di mana jua dengan sentiasa meletakkan kepercayaan terhadap rencana Tuhan.
Iman yang tidak mudah goncang
MJDYPN telah menjemput Fr Paul Sia untuk memberi perkongsian kepada para pelajar.
Memetik petikan dari Ibrani 11:1 “Iman adalah dasar dari segala sesuatu yang kita harapkan dan bukti dari segala sesuatu yang tidak kita lihat”, Fr Paul mengambil ilham dari Kisah Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim yang telah meletakkan kepercayaan penuh terhadap rencana Tuhan.
Sifat ini seharusnya ada pada setiap pelajar terutamanya para mahasiswa yang terdedah dengan pelbagai cubaan dari persekitaran yang cukup mencabar.
Gabungan doa dan usaha, pasti akan membuahkan hasil yang positif.
Mahasiswa sebagai komunikator Harapan dan Iman di kampus
Program Faith Unshaken menjadi batu loncatan kepada para C.I.A dan juga komuniti Christian Fellowship serta Catholic Student Society agar untuk terus teguh dalam membimbing komuniti masing-masing di kampus.
Faith Unshaken telah menguatkan iman para mahasiswa untuk menghadapi pelbagai cabaran dan mereka juga bersemangat untuk membimbing rakan-rakan sekampus mereka untuk menyedari kehadiran Kristus di tengah-tengah kita. – Herald Malaysia