
Oleh Martilena Tsen
TELIPOK – Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu berlangsung di Gereja Holy Family pada 19 Julai 2025. Setiap tahun Archdiocesan Education Commission (AEC) dan Archdiocesan Early Childhood Education Committee (AECEC) mengadakan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu demi menghargai jasa dan usaha murni serta dedikasi para guru yang telah menyumbangkan tenaga diikuti komitmen penuh semangat demi menyahut visi dan misi sebagai seorang pendidik.
Tahun 2025 Zon Telipok terpilih menjadi tuan rumah bagi merealisasikan acara istimewa ini. Dibawah pimpinan Rektor Zon Telipok Fr David Sham serta sokongan dari AEC dan AECEC, satu pasukan ahli jawatankuasa telah ditubuhkan pada bulan April, 2025 yang terdiri daripada Justin Liew Ketua AEC Keuskupan Agung selaku Penaung, Pengetua SM St Peter Telipok, Han Wai Kuan sebagai Pengerusi Penganjur, Naib Pengerusi Guru Besar Tadika Holy Family Telipok, Irene Chong, turut bersama Guru SM St Peter Telipok, Makdatulit Paulus sebagai Setiausaha, Guru Besar Sekolah Rendah St Peter Telipok, Chong Shau Lun sebagai bendahari dan diikuti para AJK yang terdiri daripada para BOG dan Guru Besar Tadika Mission Zon Telipok dan Zon Inanam.
Anggaran kehadiran para guru pada acara tahun ini mencecah 200-300 orang yang terdiri daripada 10 zon iaitu Zon Papar, Zon Penampang, Zon Kota Kinabalu, Zon Tanjung Aru, Zon Kudat, Zon Likas, Zon Inanam, Zon Tuaran, Zon Ranau dan Kota Belud dan terakhir sekali Zon Wilayah Persekutuan Labuan.
Kaunter pendaftaran dibuka jam 7.30 pagi dan diikuti Misa Kudus tepat jam 9.30 pagi yang diselebrankan oleh Uskup Agung John Wong, dibantu oleh oleh Fr David Sham dan Fr Jalius Sading. Seramai 10 perwakilan dari ke 10 zon membawa banner masing-masing berarak memasuki pintu utama gereja.
Semasa persembahan dijalankan para guru membawa persembahan berupa simbolik untuk disampaikan kepada Uskup Agung di mana persembahan-persembahan itu membawa maksudnya tersendiri. Antara persembahan ialah bunga, lilin, buku teks, bola sepak, buah-buahan, bakul sayur-sayuran, wain dan angpao.
Selepas Misa, umat beralih ke dewan gereja untuk acara seterusnya. Majlis di mulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Penganjur, Han Wai Kuan, diikuti Penaung Penganjur, Justin Liew dan diakhiri dengan ucapan daripada Uskup Agung John Wong.
Di dalam ucapannya, uskup mengingatkan para guru akan tanggungjawab sebagai seorang pendidik, mengajar bukan hanya pekerjaan melainkan satu panggilan. Panggilan yang menuntut kesabaran, rendah hati, pengorbanan dan yang paling utama adalah kasih.
“Para guru adalah barisan hadapan yang membentuk generasi muda yang menjadi saksi Tuhan, menanamkan benih-benih iman, memupuk, membelai, menjaga, melindungi, mendoakan serta menghasilkan buah-buah yang baik,” kata uskup.
Uskup mengakhiri ucapannya dengan mengajak para guru menghayati ayat Roma 12:7, menjadikan pembacaan ayat ini sebagai panduan. Kemudian uskup memberkati semua makanan dan minuman yang telah disediakan.
Sambil makan, umat dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas, antaranya ialah tarian dari para pelajar Tadika Holy Family Telipok dan tarian dari Sekolah Rendah Good Shepherd Manggatal.
Tahun ini, majlis juga disajikan dengan “Pemberian Hadiah Penghargaan kepada enam orang Guru Pesara”. Kategori pertama kepada para guru pesara yang telah berkhidmat selama 39 tahun iaitu Berta Binti Benjamin dan Joesey Bin Limy (lapan tahun sebagai guru biasa dan 31 tahun sebagai Guru Besar), Kategori ke-2 kepada para guru pesara yang berkhidmat selama 36 tahun iaitu Chang Nyuk Tshin, Macdalena A.Komuji dan Suanah Sombula @Sussanna. Kategori ke-3 kepada guru pesara yang telah berkhidmat selama 34 tahun iaitu Sani Bin Brandi dan penghargaan terakhir diberikan oleh Pengerusi Penganjur Han Wai Kuan kepada Uskup Agung John Wong sebagai tanda terima kasih atas doa dan sokongan beliau.
Majlis diteruskan dengan sesi fotografi diikuti dengan pengumuman tuan rumah yang akan menyambut Perayaan Hari Guru Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu untuk tahun 2026 iaitu ZON LIKAS. Uskup diiringi dengan Pengerusi Penganjur menyerahkan banner Zon Likas kepada Guru Besar Sekolah Rendah Datuk Simon Fung, Sr Carmen Cordova. Majlis diakhiri dengan doa penutup jam 2.30 petang.