
Oleh Shanty Taimin
TUARAN – Komiti Alkitab Paroki Tuaran menganjurkan Seminar Alkitab sempena bulan Alkitab bertempat di Dewan Gereja St John Tuaran pada 11 – 12 Jul 2025 yang lalu.
Sekitar 380 peserta dari pelbagai zon seperti Pusat, Tamparuli, Topokon, Tenghilan dan Koporingan serta beberapa outstasi lain seperti Paroki Kiulu, Kota Belud, Bundu Tuhan dan Papar juga telah menyertai seminar yang julung kalinya diadakan di Paroki Tuaran.
Objektif utama program adalah untuk menyemai sikap suka membaca Alkitab, khususnya dalam kalangan umat dan Orang Muda Katolik, agar Firman Tuhan dijadikan sebagai sumber panduan utama dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.
Pada hari pertama, dalam sesi bersama Fr Thomas Yip, para peserta didedahkan tentang kepentingan Firman Tuhan, cara membaca Alkitab dan juga kaedah perkongsian Alkitab (Bible Sharing) serta pangenalan kepada sesi Perbualan Rohani atau biasanya dipanggil “Spiritual Conversation”.
Majoriti peserta terdiri daripada umat biasa dan seminar itu merupakan langkah awal dalam membangkitkan minat serta kesedaran untuk lebih dekat dengan Alkitab.
Hari kedua diteruskan dengan sesi “Surat Cinta Tuhan Yesus Buatku” disampaikan oleh Alex@Paulus Jiran, yang mengajak para peserta melihat Firman Tuhan bukan hanya sekadar bacaan, tetapi sebagai “surat cinta” yang hidup daripada Tuhan Yesus. Firman-Nya menyentuh hati, menguatkan jiwa, dan memberi harapan baru sehingga membuat ramai peserta yang tersentuh secara peribadi melalui pengalaman rohani ini.
Seterusnya, sesi ketiga bertajuk “Digerak Firman, Dikuat Iman: Dari Rumah ke Jantung Misi” oleh Msgr Nicholas Stephen mengingatkan para peserta bahawa misi bermula dari rumah. Firman Tuhan bukan sekadar tulisan lama, tetapi suara kasih Tuhan yang hidup. Dengan Firman di hati dan iman di tangan, para peserta dipanggil untuk menjadi “penggerak Firman” dan melangkah dengan berani serta menjadi saksi kasih Kristus dalam keluarga, komuniti dan dunia.
Selaras dengan semangat Tahun Harapan, para peserta juga diajak menghidupi nilai sinodaliti seperti yang dikongsikan oleh Msgr Nicholas. Para peserta didedahkan bahawa Gereja ialah sebuah keluarga besar yang berjalan bersama dalam kasih Kristus, dan setiap umat memiliki suara serta peranan penting dalam membangun komuniti iman. Para peserta dipanggil untuk saling mengenali, menghargai perbezaan, serta menyumbang dalam pelayanan rohani.
Keseluruhannya, program itu membantu membangkitkan semangat para peserta dalam menjadikan Alkitab sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan.
Sokongan serta penyertaan aktif semua peserta dan Tim Penganjur amatlah dihargai, dan diharapkan semangat membaca Firman Tuhan ini akan terus subur dalam hati setiap peserta yang hadir.