
Oleh Herald Malaysia
LIMBAHAU, PAPAR – Seramai 200 orang penziarah telah mengambil bahagian dalam ziarah rohani ke salah sebuah pusat ziarah Keuskupan Agung Kota Kinabalu iaitu Gereja Holy Rosary.
Para peserta ziarah datangnya dari paroki St Augustine Kinarut, KUK Kilimu Chapel Our Lady of the Church (Ranau), St Anthony Tenom, serta umat dari sekitar Papar, Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu dan paroki St Michael Penampang.
Dengan cuaca yang sangat baik, program berjalan lancar seperti yang dirancang.
Sebaik sahaja taklimat selesai, para penziarah memulakan aktiviti ‘Pilgrims Walk’ yang membawa mereka menyusuri perjalanan rohani di sekitar kawasan ziarah.
Sesuai dengan penekanan kepada tema ekologi, para penziarah melalui tujuh perhentian, dan di setiap perhentian mereka diajak untuk merenung cinta kasih dan kebaikan Tuhan melalui peristiwa penciptaan dalam Kitab Kejadian.
Renungan ini memperdalam kesedaran bahawa seluruh ciptaan adalah tanda kehadiran dan kasih Tuhan yang harus dihargai dan dilindungi.
Seterusnya, para penziarah menonton tayangan video sejarah paroki Limbahau dan mengikuti sesi katekesis ekologi, yang menekankan tanggungjawab umat untuk menjaga alam ciptaan sebagai sebahagian daripada iman Kristian.
Ziarah diakhiri dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr Gilbert Markus.
Dalam homilinya, Fr Gilbert mengingatkan bahawa ziarah bukan sekadar untuk ‘makan angin’, tetapi merupakan satu perjalanan iman yang membawa harapan.
Paderi itu menegaskan bahawa setiap ziarah seharusnya mengubah dan memperbaharui kehidupan rohani seseorang, menjadikannya lebih dekat dengan Tuhan dan ciptaan-Nya.
Fr Markus berharap agar para penziarah dapat menemui hubungan antara Iman, Harapan, dan Kasih. Ketiga-tiganya adalah anugerah Roh Kudus.
“Semoga apabila kita pulang dari ziarah ini, harapan agar dapat kembali ke rumah. Selepas itu, menyusul kasih dan iman memperkuat hubungan kita dengan sesama dan Tuhan,” kata Fr Gilbert. – Herald Malaysia