
Oleh Celestine Gabriel
KUALA LUMPUR: Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) dengan kerjasama Archdiocesan Catechetical Ministry telah menganjurkan Program Pengukuhan Formasi Teologi Tubuh (TOB) pada 2 Ogos 2025.
Program itu merupakan susulan Formasi Teologi Tubuh (Train-The-Trainers) yang telah diadakan pada tahun 2024.
Program bertujuan untuk memperkukuh pemahaman dan kemahiran para peserta sebagai pengajar Teologi Tubuh untuk Komuniti Umat berbahasa Malaysia (KUBM).
Ia diadakan di Archdiocesan Pastoral Centre (APC) dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang, dan dihadiri oleh tujuh orang peserta dan dua orang pembimbing, iaitu Sr Retta Cannossa dan Brian Jude Lazaroo dari Archdiocesan Catechetical Ministry.
Brian membawa peserta menyingkap kembali topik berkaitan Teologi Tubuh bermula dari Kitab Kejadian—bagaimana Tuhan menciptakan manusia menurut imej-Nya.
Sesi itu memberi peluang kepada peserta untuk mengulang kaji kandungan yang dipelajari pada tahun sebelumnya.
Setelah sesi pembelajaran, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan kecil untuk tugasan pembentangan.
Setiap kumpulan diberi masa untuk menyediakan slaid pembentangan berdasarkan topik yang dibincangkan. Kedua-dua kumpulan berjaya menyiapkan pembentangan mereka dan menyampaikan hasil perbincangan dengan semangat dan kerjasama yang baik.
Aktiviti itu bukan sahaja menguatkan pemahaman, tetapi juga memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan pasukan.
Ini merupakan sambungan kepada bengkel pembentangan yang telah dimulakan pada 20 Julai 2024 apabila peserta mula mencari pengalaman bagaimana membentangkan topik-topik dalam Teologi Tubuh. Sesi pengukuhan ini ditutup dengan doa penutup. – Herald Malaysia