
ROMA – Jubli Belia, Misionari Digital dan Pempengaruh Katolik telah berlangsung di Roma dari 28 Julai hingga 3 Ogos lalu.
Lebih 100 belia dari Malaysia telah menyertai acara “iman dan persahabatan” itu.
Berikut merupakan perkongsian pengalaman beberapa belia yang menyertai acara jubli itu di Roma:
“Saya rasa diberkati kerana dapat menjadi sebahagian daripada Jubli Belia 2025 di Roma. Dikelilingi oleh begitu ramai anak muda dari seluruh dunia termasuk Kontinjen Malaysia kita, bersatu dalam iman dan kegembiraan, benar-benar memberi inspirasi. Doa, perayaan, dan pertemuan itu mengingatkan saya akan keindahan Gereja kita dan harapan yang kita bawa untuk masa depan.
Sri Paus Leo menjemput semua belia untuk berjalan bersama dalam iman, berdoa untuk keamanan dan menjadi saksi pendamaian Kristus dan saya bersedia untuk melaksanakannya. – Sarahlyn Germanus Tubong, Keuskupan Agung Kota Kinabalu
Menyertai ziarah Jubli Belia di Roma adalah salah satu rahmat terbesar dalam hidup saya.
Saya bertemu dengan Paus Leo XIV, Duta Besar Malaysia ke Takhta Suci, melintasi keempat-empat Pintu Suci, dan berdoa di makam mendiang Sri Paus Fransiskus.
Semasa Misa harian di Kapel Sforza di Santa Maria Maggiore, saya mewartakan Mazmur dalam bahasa Melayu.
Semasa berada di Roma, saya bertemu dengan seorang peziarah muda dari Lithuania yang mempunyai panggilan kuat menjadi paderi dan seorang diakon dari Perancis yang bakal ditahbis menjadi paderi.
Perjalanan yang panjang ke Tor Vergata sangat berbaloi biarpun keletihan kerana dapat berlutut dalam Penyembahan Ekaristi Kudus dan meraikan Misa bersama Bapa Suci Leo XIV.
Saya pulang ke rumah dengan hati yang diperbaharui, bertekad untuk menghidupi iman saya dengan lebih berani dan untuk memberi inspirasi kepada anak muda lain agar berjalan dengan berani menuju Kristus. – Cliffson Ashley, Keuskupan Agung Kuching
Pada musim panas ini, sebagai seorang penziarah berusia 19 tahun, saya menjejakkan kaki buat kali pertama di Eropah, di Kota Abadi Rom, untuk Jubli Belia 2025.
Acara besar ini meninggalkan kesan yang tidak dapat dipadamkan dalam jiwa saya, memperdalamkan lagi makna kekudusan dan membawa pencerahan tentang panggilan Tuhan.
Melintasi empat Pintu Suci basilika utama adalah lebih daripada sekadar tindakan simbolik.
Ia adalah pengakuan iman, pertaubatan dan rahmat Tuhan yang tidak henti bergema, “Bukakanlah bagiku pintu kebenaran, supaya aku dapat masuk ke dalamnya dan bersyukur kepada Tuhan” (Mazmur 118:19–20).
Saya berasa rendah hati untuk mewartakan Mazmur dalam Basilika Sto Paulus di Luar Tembok, detik yang tidak dapat dilupakan dalam pelayanan liturgi di hadapan Tuhan.
Bertemu dengan Paus Leo XIV yang dikasihi beberapa kali memberi saya gambaran sebenar peranan Gembala Gereja yang berhati hamba.
Merayakan Ekaristi bersama Bapa Suci Leo dan lebih sejuta kaum muda Katolik, membuatkan saya bangga kerana Gereja Katolik ialah Gereja sejagat, yang meraikan persekutuan dan keindahan iman bersama belia dari setiap benua.
Saya juga sangat gembira kerana berpeluang bertemu dengan pemimpin-pemimpin Katolik terkenal dan penginjil digital, terutamanya Uskup Robert Barron, yang me-lalui penginjilan digitalnya, telah membantu memantapkan dan menyuburkan iman saya.
Sebagai seorang pemuda yang sedang meneliti panggilan saya, saya kembali dengan azam yang diperbaharui untuk menawarkan diri agar dapat dipilih dan dipanggil oleh Tuhan untuk bekerja di ladang-Nya!
Ziarah ini bukan sebagai peristiwa yang berlalu, tetapi sebagai saat yang perlu dihayati setiap hari dalam semangat Totus Christus, bersatu sepenuhnya dengan Kristus Kepala dan memberikan pelayanan seikhlasnya kepada Tubuh-Nya iaitu Gereja. – Cliff Luke Wong Jinn Hang, Keuskupan Melaka Johor