
Oleh Stella Eming Dydimus
KUALA PENYU – Gereja St Peter, Bundu, Kuala Penyu menyaksikan seramai 99 orang calon penguatan menerima Sakramen Krisma yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong, dibantu oleh Paderi Paroki Fr Roney Mailap dan Fr Paul Mikin pada 16 Sep 2025.
Berdasarkan pembacaan injil pada hari itu, dalam homili Uskup Cornelius mengingatkan umat bahawa Gereja bukanlah bangunan tetapi gereja adalah umat yang percaya kepada Yesus. Janganlah terlalu berbangga dengan bangunan yang nampak cantik tetapi harus berbangga dengan umat yang beriman, mempunyai harapan dan kasih. Umat yang beriman akan tetap teguh, setia dan bersaksi sebagai murid Yesus walau apapun cabaran.
Kepada penerima Sakramen Krisma, Uskup berpesan berdasarkan ayat dari Yohanes 11:26, iaitu Bapa akan mengutus RohNya kepada kamu, Roh Kudus yang akan meyokong, mengajar dan mengingatkan kamu akan ajaran-ajaranNya. Oleh itu, mohonlah Roh Kudus setiap hari supaya ia dapat bertindak dan memainkan peranannya untuk kita. Berdoalah agar dikuasai dan dibimbing oleh Roh Kudus supaya dapat menjalankan tanggungjawab kita.
Uskup juga mengingatkan umat supaya tidak lupa akan peranan Roh Kudus bagi setiap peribadi dan juga dalam komuniti ketika menghadapi cabaran-cabaran iman. Roh Kudus akan memberi kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah serta memampukan umatnya melakukan kehendak dan ajaran Tuhan kerana Roh Kuduslah yang menyatukan dan layak mengajar umatNya.
Pengerusi Komiti Katekatikal, Edana J. Elip, bersyukur kerana dapat merayakan Misa dan upacara penerimaan Krisma pada hari itu. Edana juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam persediaan awal seterusnya menjayakan upacara hari itu. Kepada penerima Krisma, dia berdoa agar Roh Kudus yang dianugerahkan akan sentiasa meneguhkan iman, menjadi kekuatan dan memandu setiap penerima Krisma dalam menjalani kehidupan sebagai murid Yesus.
Fr Roney Mailap juga bersyukur atas upacara hari itu dan kepada semua calon penguatan yang berani maju ke depan untuk mendapatkan Sakramen Krisma yang mana bukan sahaja melengkapi Sakramen Inisiasi tetapi juga merupakan sumber kekuatan untuk memimpin kehidupan khusus dalam pelayanan dan pekerjaan setiap hari. Sakramen Krisma adalah kunci menerima kebijaksanaan Ilahi. Semoga dengan penerimaan Krisma, para Krismawan dan Krismawati mendapat sesuatu motivasi dalaman secara rohani untuk menguatkan inisiasi dengan Tuhan.
Uskup Cornelius berkata bahawa upacara seperti ini menunjukkan berlakunya perkembangan iman di gereja itu dan berharap perjuangan dapat diteruskan dengan kerjasama, persatuan serta kesetiaan dengan Tuhan. Gereja adalah komuniti yang sentiasa memerlukan kehadiran dan kuasa Roh Kudus untuk menyatukan, memberi kebijaksaan dan memampukan umatNya.
Sebelum mengakhiri ucapan, uskup sekali lagi mengingatkan umat akan tiga perkara berikut. Sesiapapun kita, selalulah berbangga dengan indentiti Kristian kita dan selalu komited kepada misi kita sebagai murid Yesus di mana pun kita berada serta bersaksilah kepada Kristus walau apapun cabaran-cabaran hidup yang kita hadapi. Itulah yang membuat kita sebagai gereja bukan bangunan tetapi komuniti yang percaya kepada Yesus.
Misa dan upacara hari itu diakhiri dengan sesi bergambar dan pelbagai acara diteruskan di dewan gereja.












































