
Oleh Velarie Nozie
SEREMBAN – Tiga keperluan asas keluarga yang perlu dipenuhi agar hubungan kekeluargaan dapat berkembang secara seimbang ialah keperluan rohani, keperluan psikologi dan keperluan dasar kehidupan.
Hal ini dinyatakan oleh seorang penceramah yang diundang dari Indonesia, Fr Dr Bernardinus Realino Agung Prihartana, MSF (Romo Agung) yang merupakan penceramah utama Seminar Keluarga kali ke lapan, anjuran Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) di Klana Resort, Seremban pada 7-8 Nov lalu.
Bertemakan “Keluarga Penziarah Harapan”, seminar tahun ini disertai 37 keluarga, merangkumi 96 orang dewasa dan 71 kanak-kanak. Ia dimulakan dengan upacara Pentakhtaan Alkitab, diikuti ceramah pertama: “Apa itu Harapan?”
Dalam sesi ceramah kedua: “Halangan Pemenuhan Harapan” Romo Agung menghuraikan beberapa penyebab utama yang sering menjadi halangan kepada pemenuhan harapan.
Namun katanya, setiap halangan itu ada langkah pemulihannya dan proses pemulihan bermula dengan menyedari, mengakui dan menerima luka-luka lama tersebut tanpa saling menyalahkan. “Hanya dengan keberanian untuk menghadapi kerapuhan diri, keluarga dapat membuka ruang untuk penyembuhan yang sejati,” kata Romo Agung.
Sesi hari pertama Seminar Keluarga diakhiri dengan sesi rekonsiliasi yang dipimpin oleh Romo Agung.
“Keluarga sebenarnya adalah “Rumah Harapan”, tempat di mana cinta kasih menjadi sumber kekuatan yang melahirkan pengharapan sejati,” kata Romo Agung dalam sesi ketiganya.
Paderi itu menegaskan bahawa harapan tidak ditentukan oleh kemajuan teknologi atau kekuasaan, tetapi dilahirkan melalui pertemuan manusiawi yang tulus dengan berjumpa secara bersemuka, saling mendengar, dan saling menguatkan.
Keluarga dipanggil bukan menjadi penabur ketakutan kepada anak-anak, tetapi pembawa harapan yang meneguhkan.
Tegasnya, setiap perbuatan kasih, walaupun kecil, adalah tindakan menumbuhkan harapan. Dalam keluarga, benih harapan disemai apabila anak melihat ibu bapa hidup dengan kesetiaan dan keberanian mencintai meskipun menghadapi penderitaan.
“Harapan yang sejati lahir bukan dari keselesaan, tetapi dari keberanian untuk terus mengasihi di tengah kesukaran, kerana di situlah Tuhan menanam kehidupan baharu. Oleh itu, keluarga menjadi tanda pengharapan melalui kehidupan yang dipenuhi kasih, kesetiaan, pelayanan dan penanaman nilai-nilai Kristian,” kata Romo Agung.
Romo Agung tidak lupa menampilkan Bonda Maria sebagai “Ibu Pengharapan”, yang menunjukkan bahawa harapan sejati terletak pada kepercayaan kepada janji Tuhan meskipun kehidupan kelihatan suram dan putus asa.
Beliau menegaskan bahawa keluarga dipanggil menjadi “penterjemah Injil”, bukan sekadar berbicara tentang Tuhan, tetapi menghadirkan Tuhan melalui sikap, perbuatan, pengampunan dan pelayanan tanpa dendam.
Sesi diteruskan dengan perkongsian kumpulan yang melibatkan 10 kumpulan peserta. Kumpulan-kumpulan ini membuat refleksi terhadap dua soalan iaitu pertama: tentang pengalaman kehilangan harapan dan kedua: mengenai tanda-tanda keluarga sebagai pewarta harapan.
Pada sesi rumusan dan penggulungan, Romo Agung memberi pemahaman tentang makna keluarga beriman yang berpengharapan dan mewartakan harapan di tengah-tengah pelbagai krisis dunia masa kini.
Romo menegaskan bahawa setiap keluarga memiliki tiga kekuatan utama iaitu “iman, harapan dan kasih” yang menjadi asas keteguhan serta keharmonian hidup keluarga.
Harapan digambarkan sebagai buah iman yang matang, apabila umat beriman tidak mudah menyerah ketika berhadapan dengan beban hidup, sebaliknya percaya bahawa seluruh hidupnya berada dalam tangan kasih Tuhan.
Kasih ialah puncak iman dan harapan; tanpa kasih, pasangan suami isteri tidak akan bersedia mengubah diri, dan tanpa kasih juga, mereka tidak mempunyai harapan untuk melihat perubahan yang lebih baik dalam pasangan masing-masing.
Romo Agung turut menggalakkan para peserta mendalami ajaran mengenai harapan melalui dokumen rasmi Bapa Suci Fransiskus, Spes Non Confundit (“Harapan tidak mengecewakan”) yang memberi penjelasan mendalam harapan dalam konteks kehidupan berkeluarga.
Seminar ini diakhiri dengan Misa Kudus. Sebagai penutup, anak-anak yang hadir memberikan persembahan kejutan kepada semua ibu bapa, menjadikan suasana seminar lebih menyentuh hati dan penuh syukur. – Herald Malaysia













































