
Oleh Juanis Marcus
TATAL, Keningau – Kehadiran tujuh orang Romo (paderi) di Rumah Terbuka Krismas memeriahkan lagi suasana sambutan kali ini.
Para Romo tersebut adalah Romo Amrosius, Romo Louis, Romo Yakobus, Romo Saut, Romo Domincs dan Romo Eko. Para romo tersebut berada di Katedral St Francis Xavier (KSFX) bagi membantu pelayanan semasa musim Advent sehinggalah Krismas.
Turut hadir memeriahkan suasana adalah Msgr Gilbert Lasius, Fr David Gasikol , Fr Bede Anthonius, Dikon Brywinedren, para seminarian dan umat sekitar 500 orang. Pemimpin-pemimpin tempatan yang hadir turut mengambil peluang bertegur sapa dengan Uskup Cornelius Piong dan juga umat .
Sambutan Terbuka Krismas Keuskupan Keningau edisi yang ke-14 itu diadakan pada 4 Jan 2026 di Dewan Kekitaan, Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal. Uskup Cornelius dalam ucapannya mengungkapkan terima kasih atas kehadiran semua umat dalam perayaan tersebut.
Prelatus itu turut berpesan agar sentiasa mengucapkan syukur atas cintakasih Tuhan, kerana kelahiran Yesus Kristus itu, mereka semua dapat merayakan Krismas.
“Memasuki tahun baru 2026, kita semua memerlukan terang. Oleh itu, dengarkan dan lakukanlah perintah Yesus Kristus, nescaya kita tidak akan berjalan di dalam kegelapan,” tutup Uskup Cornelius.
Selain menikmati juadah makanan dan minuman yang disediakan, umat juga boleh menyertai cabutan tiket bertuah sambil berhibur dengan pelbagai persembahan menarik yang dikendalikan oleh Kerasulan Belia Katolik (KBK) KSFX.
Semoga program sebegini mampu menjadi pengerat kesatuan khususnya umat di Keuskupan Keningau.









































