
Oleh Catholic Sabah/HCF
KOTA KINABALU – Kes buli berlaku di salah sebuah sekolah di Sabah yang telah menggegarkan negara menjadi pemicu kepada banyak usaha untuk menangani isu tentang buli, melibatkan lingkungan pendidikan, keagamaan, pengamal dan penguatkuasa undang-undang mahupun dalam golongan professional kemasyarakatan.
Buli bukan isu kecil. Ia meninggalkan luka emosi, menjejaskan keyakinan diri serta merosakkan keharmonian masyarakat jika dibiarkan berlarutan.
Bertempat di Catholic Archdiocesan Centre Hall, Kota Kinabalu, seramai kira-kira 150 orang peserta daripada pelbagai kaum dan agama telah hadir menyertai Seminar Kesedaran Banteras Buli yang berlangsung pada Sabtu, 31 Jan 2026, dari jam 7.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program itu dianjurkan secara bersama buat julung kali oleh Hidayah Centre Foundation, Gereja Katolik (Keuskupan Agung Kota Kinabalu), Pertubuhan KDM Muslim Se-Malaysia, GDM Sabah dan IKRAM Sabah.
Kerjasama merentas agama dan komuniti itu mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam menangani isu sosial secara kolektif.
Seminar itu menampilkan pengisian yang menyeluruh dengan membincangkan isu buli dari pelbagai sudut penting, antaranya:
* “Buli dari Perspektif Islam” – Joannes Lukas, Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation
* “Buli dari Perspektif Kristian” – Fr Peter Abas, Paderi Gereja Stella Maris, Tanjung Aru
* “Kesan Undang-Undang Terhadap Pembuli” – Inspektor Suzie @ Stephanie binti Kupit, Pegawai Penyiasat D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), CID Sabah
* “Kesan Psikologi Terhadap Mangsa” – Lily Johny @ Sofiah Hj Johari, Kaunselor SM St John, Tuaran
Melalui sesi-sesi itu, para peserta didedahkan dengan realiti sebenar isu buli, punca berlakunya buli, kesan jangka panjang terhadap mangsa serta tanggungjawab undang-undang dan moral yang perlu dipikul oleh semua pihak.
Seminar tersebut menegaskan bahawa usaha membanteras buli bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran, empati dan komitmen bersama daripada keluarga, institusi pendidikan, badan keagamaan serta masyarakat keseluruhannya.
Penyertaan pelbagai kaum dan agama dalam jumlah yang memberangsangkan menjadi bukti bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar masyarakat. Apabila semua pihak berganding bahu, persekitaran yang lebih selamat, saling menghormati dan penuh empati dapat dibina untuk semua.
Beberapa perwakilan dari sekolah dan juga dari paroki menyatakan rasa keberuntungan kerana berpeluang menghadiri seminar rentas agama dan komuniti tersebut dan juga mencadangkan program seumpamanya dianjurkan di peringkat daerah atau paroki.
“Membanteras buli, menyatukan hati, suara semua untuk keharmonian.”
Terima kasih kepada semua penganjur, penceramah dan peserta yang telah menjayakan program. Semoga usaha kecil tersebut menjadi langkah besar ke arah masyarakat yang lebih prihatin dan berperikemanusiaan.













































