
Oleh Aloy
BEAUFORT – Sekali lagi sejarah tercipta apabila seorang lagi anak muda kelahiran daerah itu melafazkan ungkapan ”Ya, Saya Mahu” kepada panggilan Tuhan. Diakon Brywinedren Godon, yang merupakan anak ke 10 daripada 13 beradik akhirnya ditahbis menjadi paderi dalam satu Misa Kudus yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong pada 15 Feb 2026 bertempat di Gereja St Valentine, Beaufort. Dihadiri lebih 1000 umat dari seluruh Paroki dan Mission Keuskupan Keningau. Pentahbisan itu menjadikan paderi Brywin sebagai paderi ke-3 yang ditahbis berasal dari Daerah Beaufort.
Semasa upacara pemakaian “Stola” dan “Chasuble”, ayah kepada paderi baharu itu sendiri telah menyarungkan “Stola” dan “Chasuble” sebagai tanda tulusnya hati seorang ayah menyerahkan anaknya sebagai pelayan di ladang Tuhan. Selain itu, ahli keluarga paderi baharu itu turut memberikan kejutan kepada paderi apabila menyerahkan sebuah hadiah istimewa berupa bingkai yang mengandungi berkat Apostolic daripada Bapa Suci Leo.
Uskup Cornelius dalam ucapannya sempat menyeru kepada umat yang hadir dengan mengatakan, Pentahbisan ini bukan perayaan semata-mata tetapi ajakan kepada para belia untuk menanggapi pesan Tuhan. Ini adalah kerana “Tuaian memang banyak tetapi pekerja sedikit”. Manakala Fr Gilbertus Engan yang juga merupakan paderi paroki St Valentine, Beaufort mengingatkan paderi yang baru ditahbis Fr Brywin bahawa hidup kepaderian tidak terpisah dengan ekaristi. Terdapat pelbagai cabaran dalam hidup kepaderian, namun ingatlah bahawa Tuhan sendiri telah berkata, “Rahmatku cukup bagimu”.
Fr Brywinedren Godon memilih Injil Lukas 18:13 “Ya Tuhan kasihanilah aku, orang yang berdosa ini,” kerana sebagai ungkapan bahawa panggilan itu adalah misteri, meskipun kita seorang manusia yang tidak sempurna (berdosa) namun Tuhanlah yang memilih dan melayakkan kita melayani di ladangNya. Pengalaman merasai kehadiran Tuhan dalam panggilannya, telah membuatkan paderi baharu itu memilih injil tersebut.
Baca berita penuh dalam Catholic Sabah Vol 69 No 6 bertarikh Mac 15 2026.














































