
Oleh Beatlvina Bianus
RANCANGAN BELIA, Sook – Pusat Pendidikan MADIKA (Mari Didik Kanak-kanak) di Kampung Rancangan Belia, Sook yang dibangunkan oleh para Sister Infant Jesus siap dibina sepenuhnya dan telah diberkati oleh Uskup Cornelius Piong. Sekolah itu mulai dibuka pada bulan Mac 2025 dan para pelajar dari Rancangan Belia mengikuti tuisyen di dalam bangunan tersebut. Bangunan itu bukan sahaja digunakan untuk kelas tuisyen, tetapi juga sebagai pusat latihan dan pembentukan guru.
Kemudahan yang lengkap untuk kanak-kanak menimba ilmu pengetahuan membantu dalam perkembangan iman umat di tempat itu yang bermula daripada kanak-kanak. Program yang dilaksanakan khas untuk kanak-kanak akan membantu dalam perkembangan iman, harapan dan kasih kepada Tuhan.
Dalam homili Uskup Cornelius semasa Misa Kudus pemberkatan bangunan tersebut, beliau mengingatkan kepada ibubapa agar sentiasa mendorong anak-anak mereka datang kepadaNya seperti Tuhan tidak pernah menghalang dan sentiasa menghormati Kanak-kanak datang kepadaNya.
“Tujuan penubuhan MADIKA ialah mengenal Tuhan. MADIKA bukan sahaja tempat kelas tambahan kanak-kanak untuk mempelajari matematik atau membaca tetapi juga sebagai salah satu saluran untuk mengenali Tuhan,” katanya.
Uskup menegaskan kepada umat tentang peranan Roh Kudus dalam kehidupan harian. Roh Kudus memainkan peranan penting sebagai penolong hidup untuk hidup dalam kesatuan, menerangkan akal budi, dan memampukan kita melakukan kehendak Tuhan.
Mari Didik Kanak-kanak telah diasaskan oleh Sr Oi Lin sejak tahun 1996 dan kini disokong oleh komuniti Rancangan Belia bersama para Sister Infant Jesus. Bangunan yang boleh menampung lebih 50 orang pelajar itu pada masa ini, mempunyai 39 pelajar dengan dua orang guru tetap dan dua guru sementara.