
Oleh Januar An & ES
TOPOKON – Bertemakan “Berjalan bersama dalam pengharapan, menghidupi kebudayaan sebagai keluarga menurut ajaran gereja,” perayaan Pesta Kaamatan Paroki Tuaran diraikan dengan meriah pada 2 Jun 2025 di Gereja St Mary of God, Topokon.
Pada tahun ini, Zon Topokon menjadi tuan rumah bagi sambutan perayaan Pesta Kaamatan 2025.
Kira-kira 500 orang hadir memeriahkan perayaan itu.
Sambutan Pesta Kaamatan itu bermula dengan perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong bersama paderi pembantu paroki Tuaran, Fr Wiandigool Runsab dan Fr Bradley Stephen.
Uskup Agung berkata dalam homilinya bahawa apapun yang mereka lakukan atau rayakan pada hari itu haruslah senantiasa didorong oleh sabda Tuhan dan semuanya untuk kemuliaan namaNya.
Dia mengatakan mesej dalam Injil Santo Yohanes 16 pada hari itu menyampaikan bahawa Tuhan akan sentiasa berserta mereka.
Prelatus itu berpesan kepada umat untuk bersedia menerima Roh Kudus pada hari Pentakosta, kerana melalui kedatangan Roh Kudus, ”Tuhan bukan sahaja mahu tinggal bersama kita malah Dia mahu menguduskan kehidupan kita”.
Dalam pada itu, dia juga berkongsi tiga perkara dalam doa agung kepada Bapa iaitu agar mereka senantiasa bersatu dengan menunjukkan kesatuan mereka dalam pelayanan untuk merayakan pesta kaamatan.
Seterusnya, untuk berkongsi kemuliaan Tuhan kepada semua orang melalui kedatangan Roh Kudus dan menyatakan bahawa Tuhan bersama mereka.
Selesai Misa, acara diteruskan di kawasan perkarangan gereja dengan perasmian Pesta Kaamatan oleh Uskup Agung John, Pengerusi MPP, Dr Bonaventure, para paderi, Fr Thomas Yip, Fr Wiandigool dan Fr Bradley juga pemimpin masyarakat setempat.
Pesta kaamatan juga diisi dengan persembahan pentas dengan nyanyian, tarian tradisional, cabutan nama bertuah, unduk ngadau remaja dan kanak-kanak serta pemilihan pakaian tradisional terbaik pada hari itu.
Pada minggu sebelumnya, mereka telah menjalankan pertandingan Sugandoi (menyanyi) dan sukaneka tradisional.
Turut hadir dalam pesta kaamatan itu adalah Fr Gilbert Marcus, Datuk Sri Penglima Wilfred Madius Tangau, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Edward Linggu.
Zon Pusat St John, Tuaran akan menjadi tuan rumah bagi Pesta Kaamatan pada tahun 2026.