Oleh Rani Duanis
SOOK, Keningau – Komiti Pembaharuan Karismatik Katolik Paroki Sook (KiPKK) menganjurkan Seminar Hidup Baru Dalam Roh bertempat Gereja St Catherine Of Siena, KUK Tumura (Zon Sapulut) pada 25-27 Apr 2025.
Bertemakan “Dibaharui oleh Roh Kudus, Hidup dalam Kuasa-Nya” (Kis 1:8), seramai 50 peserta menyertai seminar itu terdiri daripada ibu bapa, belia dan kanak-kanak.
Seminar bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Anthony Mikat. Turut hadir dalam seminar itu ialah Pengerusi Zon Nabawan, Adrian Robert bersama tim KiPKK St Bede Nabawan.
Seminar yang berlangsung selama tiga hari berjalan dengan baik, walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dilalui kerana ada semangat dan kesatuan tim KiPKK untuk berjalan bersama sebagai satu komuniti. Tim juga sempat melakukan Pelayanan Doa kepada keluarga Matusin yang menjadi tempat penginapan tim.
Pengerusi KiPKK Paroki Sook, Fred Jupilin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Tim KiPKK yang meluangkan masa untuk melayani bersama dan berharap agar kerjasama yang padu dapat diteruskan dalam program di masa hadapan.
Pada hari ini kita memperingati Sta Katarina dari Siena iaitu Penaung gereja KUK Tumura (St Catherine Of Siena), Sta Katarina berkata, “Jika kita ingin hidup dalam cinta yang sejati kepada Tuhan, kita harus membiarkan hati kita dibersihkan dan dibaharui oleh kasihNya”. Doa dan Pertobatan adalah dua aspek yang membawa kita dalam kesatuan dengan Tuhan. Marilah kita berdoa agar setiap hari kita dilahirkan semula dalam kasih Tuhan supaya hidup kita terus diperbaharui dan diperkuatkan. Mari kita membuka hati kita kepada Roh Kudus seperti yang telah diajarkan oleh St Katarina dari Siena.