Hidup hanya berubah, bukan berakhir

Oleh Linda Edward

Aug 20 2021

KOTA KINABALU – Gereja tempatan pada saat ini mengucapkan selamat tinggal kepada Fr Jasery Gabuk, 51, yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Ogos lalu di Telupid oleh kerana masalah kesihatan.

Namun prelatus Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong menjemput umat untuk merenung soal kematian dari sudut pandangan Gereja yang berkata “hidup hanya berubah bukannya berakhir.”

Pada waktu yang mencabar dan sukar ini, Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menyediakan siaran langsung Misa Kudus Pengebumian untuk arwah Fr Jasery Gabuk agar umat yang tidak dapat hadir, masih boleh bersatu dengan Gereja, berdoa untuknya dan terlibat dalam memberikan penghiburan kepada mereka yang bersedih.

Misa Kudus online tersebut dipimpin oleh Uskup Agung Wong pada 19 Ogos jam 9.00 pagi di Paroki Katedral Hati Kudus di sini, bersama sepuluh orang paderi yang lain. Misa Kudus juga dihadiri oleh 11 ahli keluarga Fr Jasery dan dua orang religius sister. 

Merenung soal kematian dari pandangan Gereja

Di dalam homilinya, Uskup Agung mengucapkan “selamat tinggal kepada saudara kita yang telah pergi sebelum kita”. Dia menjemput umat “merenung kematian dari pandangan Gereja”.

“Bagi mereka yang percaya kepada Kristus, kematian bukan perkara terakhir, ia hanyalah perubahan dari hidup ini kepada hidup kekal yang Tuhan telah sediakan untuk kita.

Ini memerlukan iman daripada kita untuk mengetahui dan menerima bahawa “kematian adalah perubahan kepada situasi atau alam, dan masa hadapan yang lebih baik.

Uskup Agung John Wong bersama para paderi memimpin Misa Kudus pengebumian Fr Jasery pada 19 Ogos

“Selepas transformasi terakhir ini, perubahan terakhir dalam hidup kita, Tuhan senantiasa memberi kita yang terbaik iaitu menikmati kehidupan kekal dengan Dia yang mengasihi kita sepenuhnya.

“Mari kita juga dibimbing oleh Firman Tuhan pada hari ini yang mahu menghiburkan kita.

Prelatus memetik Injil Matius tentang Kebangkitan Lazarus yang mana Yesus bertanya kepada kita seperti Dia bertanya kepada Martha, agar percaya bahawa Dia adalah Kristus, diutus oleh Bapa, untuk menyelamatkan kita.

“Sekiranya kita mempunyai iman seperti Martha, kita boleh percaya bahawa saudara kita, Jasery, melalui belas kasih Tuhan, telah pun bersama-sama dengan Tuhan Bapa, menikmati kehidupan yang telah tersedia untuknya sejak dari mula.

Dengan kata-kata ini, Uskup Agung memanggil semua untuk beriman, “Ya, sekarang kita berasa sedih, namun iman kita harus selalu mengingatkan dan menghiburkan kita bahawa satu hari nanti, kita akan bertemu kembali dengan saudara kita, di dalam Kerajaan Tuhan.”

Penghormatan terakhir untuk Fr Jasery

Pada hari Fr Jasery menghembuskan nafas terakhir, arwahnya diletakkan di Paroki St Martin Telupid pada 17-18 Ogos untuk penghormatan terakhir di sana.

Fr Christopher Ireneus, paderi paroki, mengadakan Misa online Memperingati Arwah pada 18 Ogos pada jam 8.00 pagi di gereja.

Selesai Misa, arwah kemudian dibawa kembali ke Kota Kinabalu. Rombongan sempat berhenti di Paroki St Peter Claver’s Ranau untuk doa dan pemberkatan oleh paderi dan umat paroki yang dipimpin oleh Fr Nicholas Stephen.

Singgah di St Peter Claver’s Ranau, didoakan oleh paderi paroki Fr Nicholas Stephen

Mereka tiba di Paroki Katedral Hati Kudus pada hari yang sama pada jam 1.00 tengahari. Pandemik telah menghalang perkumpulan beramai-ramai untuk menghalang penyebaran coronavirus. Semasa penghormatan terakhir di Paroki Katedral Hati Kudus, keadaan gereja adalah sunyi, hanya dihadiri oleh para paderi, religius dan seminarian dari Keuskupan Agung yang mengadakan Doa Untuk Arwah Yang Meninggal dan Doa Rosari.

Pada hari berikutnya, arwah Fr Jasery dikebumikan di Tanah Perkuburan Katolik di Batu 4, Penampang.

Upacara pengebumian Fr Jasery pimpinan Uskup Agung John Wong, turut hadir para paderi dan ahli keluarga

Memperingati pelayanan dan peribadi Fr Jasery

Fr Christopher Ireneus, Paderi Paroki St Martin Telupid

“Kita akan teruskan semua usaha Fr Jasery di sini”

“Pasti banyak kenangan manis pahit bersama Fr Jasery di Paroki St Martin Telupid selama lebih 10 tahun melayani di sini. Kita telah melihat kerja-kerja yang dilakukannya. Ada yang kelihatan mustahil bagi mata kasar manusia tetapi oleh kerana bantuan Tuhan dan melalui kesungguhan yang ditunjukkan oleh Fr Jasery, semuanya itu terlaksana. Sudah tentu dengan kerjasama, sokongan dan kemurahan hati umat St Martin Telupid.

“Kita akan teruskan semua usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Fr Jasery, semua cita-citanya, kemurahan hatinya dan semua pelayanan-pelayanan yang ditunjukkannya di paroki ini.”

 

Albert Andau, Pengerusi MPP Paroki St Martin Telupid, 2014-2017

“Fr Jasery seorang yang tegas”

“Sepanjang saya bertugas sebagai Pengerusi Majlis Pastoral Paroki di bawah Fr Jasery, ada banyak pembangunan fizikal dan pastoral yang telah dilaksanakan olehnya. Contohnya urusan tanah gereja diselesaikan dan pembinaan beberapa chapel di stasiluar. Fr Jasery juga rajin mencari bantuan dana daripada orang yang bermurah hati untuk pembinaan gereja di bawah paroki Telupid.

“Dalam hal pastoral pula, di bawah gembalaan Fr Jasery, semakin ramai calon IKD yang pada mulanya hanya Kristian atas nama dan mempunyai perkahwinan yang hanya diiktiraf di peringkat kampung. IKD ini memberi ruang bagi mereka untuk dibaptis dan perkahwinan yang diberkat.  

“Apa yang tertarik di hati saya mengenai Fr Jasery adalah dia seorang yang tegas.

“Dia memberi penegasan kepada umat mengenai pematuhan masa Misa, kalau Misa harus mula pada jam 8.00 pagi, maka dia akan mulakan pada waktu itu. Ini adalah untuk menyedarkan tanggungjawab umat kepada masa Misa. Akhirnya umat sedar bahawa masa itu penting.

“Saya juga sedar bahawa sewaktu pelayanan Fr Jasery di St Martin Telupid, apabila ada program di gereja, semua umat tempatan, migran luar dan migran tempatan akan bersatu dan mempunyai solidariti yang kuat.”

 

Nicholas Ponilau, Pengerusi Caritas St Martin Telupid

“Prihatin kepada keperluan umat”

“Fr Jasery selalu membawa saya pergi ke luar stasi untuk melayani contohnya di St Fidelis Kiabau dan St Bede Chapel Bobotong.

“Dia sangat prihatin kepada keperluan umat. Pelayanannya bersama umat adalah cukup baik dari segi keprihatinan. Dia tidak ragu-ragu membantu umat walaupun di luar urusan pastoral gereja contohnya dia memberi sebuah enjin bot kepada salah seorang umat di Telupid sebagai pengangkutan untuk cari makan.

“Kalau ada sesiapa yang singgah di St Martin sebagai tetamu, Fr akan sediakan semuanya. Dia yang akan masak dan angkat air (sekiranya tiada air di paroki) kerana dia tidak mahu orang yang singgah itu tidak selesa.

“Kawan saya yang menetap di Kg Kiabau berkata kalau Fr pergi ke rumahnya, Fr sendiri yang akan masak.

“Fr Jasery adalah seorang yang peramah dan senang berkawan dengan orang.

“Pada waktu zaman pelayanan Fr Jasery, saya perhatikan ramai juga umat yang sudah lupa gereja telah kembali semula ke gereja kerana mereka merasai pendekatan Fr yang baik.

“Sewaktu kedatangan Fr Jasery pada tahun 2011, pada waktu itu, saya tidak sangat aktif dalam pelayanan di gereja. Selepas Fr melayani di sini, saya mulai berkenalan dan mulai rapat dengannya pada tahun 2012, terus saya terbuka hati untuk melayani.

“Bila saja ada aktiviti Caritas di paroki, Fr Jasery sangat beri sokongan dan kerjasama.”

 

Johnny Sitamin, Pengerusi MPP St Joseph Papar

“Seorang paderi yang komited”

“Fr Jasery adalah seorang paderi yang sangat komited melayani umat di Papar. Dia seorang pendengar yang baik dan memberi tunjuk ajar yang baik. Seorang yang berinovasi memberi idea baharu dalam mempromosi dan menjalankan aktiviti rohani.”

 

 

Sylvester Joseph, Pengerusi MPP Holy Rosary Limbahau

“Kehadirannya seperti cahaya terang buat kami”

“Fr Jasery adalah seorang yang benar-benar menjadi inspirasi bagi setiap kita. Dia melayani sebagai paderi dengan penuh dedikasi, cintakasih dan kerendahan hati. Dia bersama kami di dalam pelayanan Caritas Holy Rosary Limbahau dalam setiap langkah untuk menjadikan gereja sebagai simbol cintakasih Tuhan melalui kebaikan dan kemurahan hati.

“Sepanjang pelayanan ministrinya di paroki Limbahau, dia sepenuh hati percaya dengan pendiriannya. Kehadirannya seperti cahaya terang buat kami kerana personalitinya yang baik, kelakar, suka berkongsi dan selalu tersenyum sehingga membuatkan orang lain juga tersenyum. Dia juga sangat prihatin kepada komuniti di sini. Dia menasihati kami untuk sentiasa berkongsi cintakasih dalam apa bentuk pun.

“Fr Jasery juga seorang yang peramah, menyokong, prihatin dan hadir dalam semua pelayanan atau program yang dijalankan. Homilinya menyentuh umat dari semua lapisan umur. Kita sangat diberkati kerana mempunyai seorang paderi yang senantiasa menghidupi karya belas kasihan korporal dan rohani.

“Fr Jasery suka berada di sekeliling orang untuk berkongsi apa sahaja seperti makanan, minuman, pengalaman dan sebagainya. Dengan masanya yang singkat bersama kami di Paroki Holy Rosary Limbahau, apabila dia berpeluang, dia akan berkongsi pengalaman peribadinya sewaktu dia melayani sebagai rektor di St Martin Telupid.”

 

Fr Rayner Bisius, Paderi Pembantu Paroki St Joseph dan Holy Rosary Limbahau

“Fr Jasery mudah didekati umat”

“Pada awal tahun ini apabila Uskup Agung kita mengumumkan bahawa Fr Jasery akan melayani  di paroki Papar-Limbahau, saya berasa gembira kerana kami belajar di seminari bersama-sama. Dia adalah senior saya dan saya sangat menantikan masa melayani bersama dia.

“Walaupun ini adalah masa pandemik, dia sangat penuh dengan keazaman dan tenaga untuk melayani umat. Dia berkata kepada saya bahawa dia mahu melawat semua stasiluar di bawah dua paroki ini.

“Fr Jasery sangat mudah didekati dan suka meluangkan masa bersama umat. Dia selalu berkata, sebagai paderi, kita perlu dekat dengan umat supaya kita memahami situasi mereka, maka kita boleh melayani mereka dengan lebih baik dan lebih efektif.

“Pandemik ini tidak menghentikan dia untuk melayani terutamanya yang sangat memerlukan dan yang miskin. Dia terlibat secara aktif dalam Caritas di paroki Limbahau, menjangkau umat di stasiluar.

“Ini adalah satu kehilangan yang besar kepada paroki dan Gereja. Saya menyangka kami bertiga (bersama Fr Thomas Yip) melayani di paroki ini dapat membawa perubahan dan revolusi besar. Namun apakan daya, Tuhan lebih menyanyangi dia.”

 
Latar belakang kehidupan Fr Jasery

Dilahirkan dari sebuah keluarga bukan Katolik (pagan) pada 1 Mei 1970, anak muda bernama Jasery ini tidak pernah datang ke gereja pada awal hidupnya. Dia menghabiskan masa lapang terutamanya pada hujung minggu, melastik burung, kadang kala dari pagi sampai matahari terbenam, satu hobi tipikal bagi seorang anak muda yang tinggal di kampung. Membesar sebagai remaja, Fr Jasery sangat berhasrat besar menjadi seorang tentera darat. Namun cita-cita itu dihalang keras oleh bapanya.

Fr Jasery berasal daripada Kg Kotunuan Baru, Tamparuli. Dia mempunyai enam orang adik-beradik (dua lelaki dan empat perempuan) kepada bapa Gabuk bin Tanggauk dan ibu Liasah bte Bungkoris.

Dia mulai bergiat dalam aktiviti keagamaan di Gereja Katolik ketika dia berada di Tingkatan lima di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu melalui seorang rakan.

Setahun selepas mengenali rakan barunya, dia mengikuti kelas RCIA di Kg Dansangai Kauluan dan dibaptis sebagai Katolik pada awal tahun 1990 di Gereja St Philip, Tamparuli. Pada tahun yang sama dia juga menerima Sakramen Penguatan di gereja yang sama.

Pada waktu itu, dia menetap di Kg Bobotong, Telupid dan telah dipilih untuk memimpin umat di sana. Dia mengikuti kursus Asas Kepimpinan Katekis selama tiga bulan di Pusat Latihan Katekis (PUSKAT) Keningau.

Imej: Buku Cenderakenangan Pentahbisan Imamat Fr Jasery

Melalui pengalaman menjadi katekis selama lima tahun, di sanalah dia merasai panggilan untuk menjadi paderi.

Pada tahun 1994, dia mengikuti Seminar Panggilan di Bundu Tuhan dan diterima masuk ke Catholic Diocesan Centre (CDC) Penampang pada hujung 1995.

Sebagai seminarian, dia menjalani kerja-kerja pastoral di Holy Trinity Tawau pada tahun 2001, St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau pada 2002 dan St Edmund Kota Belud pada tahun 2003.

Dia selesai melalui pembentukan paderi selama tujuh tahun di Kolej St Peter’s Kuching pada tahun 2003.

Uskup John Lee (pada waktu itu) telah mentahbis Fr Jasery sebagai diakon pada 19 Feb 2004 di Paroki Katedral Hati Kudus dan mentahbisnya sebagai paderi pada 16 Sep di St Joseph, Kiulu.

Selepas ditahbis, Fr Jasery melayani di Paroki St Michael Penampang dan Paroki Katedral Hati Kudus. Dia kemudian ditugaskan untuk melayani di Diosis Sandakan dalam Paroki St Martin Telupid pada tahun 2011 sehingga 2020.

Pada awal tahun ini, Uskup Agung John Wong memanggilnya kembali ke Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan menempatkan dia melayani di St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau, sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.