Uskup Cornelius Piong diapit oleh Pengerusi Kerasulan Wanita Katolik KSFX, Puan Mathilda Nain, Sr Liza Jamat dan AJKT KWK Paroki KSFX
Oleh Juanis Marcus
Mei 15 2024
KENINGAU – Seramai 350 wanita Katolik menyertai Rekoleksi Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX), Keningau yang diadakan di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu, Sosopon.
Rekoleksi tahunan itu diadakan pada 13 Apr 2024, bermula dari jam 8.00am-5.00pm. Antara sesi-sesi yang diberikan adalah Kerohanian Wanita Katolik yang disampaikan oleh Msgr Gilbert Lasius, Cabaran dan halangan wanita Katolik dalam pelayanan oleh John Lainsin, dan sesi mengenai liturgi yang disampaikan oleh Sr Liza Jamat, FSIC.
Rekoleksi ditutup dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong. Dalam homilinya, prelatus itu menjelaskan mengenai tema yang dipilih untuk rekoleksi KWK kali ini iaitu “Umat Tuhan yang berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.”
Prelatus itu menerangkan bahawa tema itu memang sesuatu yang sangat berkaitrapat dengan perkembangan Keuskupan Keningau. Mengambil pembacaan Injil Yohanes 17:11-17, di mana Yesus berdoa kepada Bapa sebelum Dia mengharungi sengsara.
Daripada doa tersebut, terbit inspirasi mengenai pentingnya kesatuan, kesetiaan dan kekudusan dalam kehidupan umat Katolik. “Yesus menginginkan kita menjadi satu, bermakna kita juga harus hidup dalam kesatuan, Yesus menginginkan kita terus dilindungi dari si jahat, bermakna kita harus sentiasa setia memilih Yesus, dan Yesus menginginkan kita sentiasa dikuduskan bermakna kita juga harus sentiasa berusaha untuk hidup Kudus,” jelas prelatus itu.
Prelatus itu menyimpulkan bahawa pesan mengenai kesatuan, kesetiaan dan kekudusan adalah sesuai untuk semua umat Katolik lebih-lebih lagi di Keuskupan Keningau yang mengamalkan semangat pelayanan berkomuniti.
Seusai Misa, ahli KWK mengambil peluang untuk bergambar bersama dengan Uskup Cornelius Piong.
Mathilda Nain, Pengerusi KWK Paroki KSFX mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius Piong kerana meluangkan masa untuk memimpin Misa Kudus. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan-perwakilan KWK zon , dan tidak menyangka kehadiran begitu ramai. “Memandangkan rekoleksi ini sangat penting bagi kerohanian wanita katolik, kita akan adakannya lagi pada tahun hadapan,” tutup Mathilda.