Fr Roney Mailap menyaksikan penyerahan fail tugas kepada Pengerusi Komisi Katekis yang baharu iaitu Katekis Victor S Ekang (kiri)
Oleh Christy
Mei 15 2024
KUALA PENYU – Komisi Katekis Keuskupan Keningau telah mengadakan pertemuan pada 19-20 April 2024, di Rumah Retret Keuskupan Keningau Purun (RRKKP). Pertemuan itu bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Roney Mailap selaku pembimbing rohani Komisi Katekis Keuskupan dan dibantu Fr Paul Mikin selaku pembantu rektor Paroki St Peter Bundu Kuala Penyu.
Fr Roney Mailap berkata dalam homilinya, katekis perlu sentiasa sedar bahawa pelayanan sebagai pemimpin Ibadat Sabda bukan pelayanan yang bersifat rutin atau hanya sebuah tugas. Namun, menjadikan pelayanan katekis yang dapat membawa umat kepada pertobatan serta membawa umat kembali kepada Tuhan. Dalam masa yang sama, katekis juga perlu sentiasa mencari semangat yang baru agar iman dan harapan akan Yesus sentiasa menyala di dalam peribadi seorang katekis.
Seusai Misa Kudus para perwakilan katekis dari semua paroki di Keuskupan Keningau telah diraikan dalam Majlis Malam Solidariti Paska yang telah diaturkan oleh Komiti Katekis St Patrick Membakut sebagai Tuan Rumah bagi pertemuan kali ini.
Hari kedua, diawali dengan doa Rosari yang dipimpin oleh Komiti Katekis St Valentine Beaufort diikuti dengan mesyuarat untuk membincangkan perkara berbangkit daripada pertemuan yang lalu. Sesi kedua pertemuan adalah pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Komisi Katekis Keuskupan Keningau bagi sessi 2024-2026. Pertemuan ini turut dihadiri wakil tetap dari Pusat Pastoral Keuskupan (PPK) iaitu Fredoline Umis dan Patrick Marius. Setelah dibuat pemilihan AJKT Komisi sesi 2024-2026 adalah seperti berikut:
- Spiritual Director : Fr Roney Mailap
- Pengerusi : Kat Victor S Ekang
- Tim Pengerusi : Kat Leopld Molitis
- Setiausaha : Kat Esther J Dominik
- Tim Setiausaha : Kat Evelyn Tinah Inin
- Bendahari : Kat Raymond Misin
- Tim Dana : Kat Masuning Digang
- Komsos : Kat Christy F Anjun
Katekis Victor S Ekang berterima kasih kepada Uskup Cornelius Piong atas kepercayaannya untuk memilih dan melantik beliau untuk menerajui komisi bagi sesi 2024-2026. Beliau juga berharap agar rakan sepelayanan sentiasa memberi kerjasama agar komisi agar dapat bergerak sesuai dengan pelayanan pemimpin Ibadat Sabda di Keuskupan Keningau.
Fr Roney Mailap dan pengerusi bersetuju untuk mewujudkan tim-tim yang baru dalam komisi ini iaitu, Tim kajian teks liturgi atau Ibadat Sabda dan Tim pemantapan iman dan pelayanan yang akan diisi pada pertemuan di masa hadapan.
Pertemuaan ditutup dengan sesi penyerahan fail tugas daripada pengerusi lama, iatu Kat Edward Joseph kepada pengerusi yang baharu, Kat Victor S Ekang diikuti dengan sesi bergambar serta makan bersama sebelum balik ke paroki masing-masing.