
By Aveil Olga
TAMBUNAN – Dalam suasana tenang dan penuh rahmat di Pertapaan Karmel Kaingaran, Tambunan, seramai 170 peserta Kursus Evangelisasi Peribadi (KEP)-4 Sabah menjalani Retret Pengutusan, menandakan langkah awal mereka untuk diutus dalam karya pelayanan sebagai penjala manusia. Mereka terdiri daripada 162 peserta dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, tujuh dari Keuskupan Keningau dan seorang dari Keuskupan Sibu.
Retret itu menjadi ruang suci bagi para peserta untuk memperdalam hubungan dengan Tuhan dan mendengar kembali suara panggilanNya. Sepanjang retret, para peserta dibimbing dalam tujuh sesi formasi rohani, adorasi Sakramen Mahakudus dan pengalaman pencurahan Roh Kudus yang memperbaharui hati serta meneguhkan semangat misi.
Dalam Misa Pengutusan, Msgr Nicholas Stephen, mewakili Archbishop John Wong, menyampaikan pesan.
“Tuhan telah memilih kamu dan mengutus kamu. Jangan lagi pandang ke belakang. Tidak ada alasan untuk berkata ‘tidak’, kerana Roh Kudus akan bersama kamu dalam karya kerasulan ini.” Msgr Nicholas juga telah menyempurnakan pengutusan para peserta dengan menyampaikan Alkitab dan lilin dalam upacara pengutusan.
Firman Tuhan dari Matius 4:19 menjadi tema pengutusan tahun ini: “Mari, ikutlah Aku dan kamu akan Kujadikan penjala manusia.” Ia menjadi panggilan bagi setiap peserta untuk meninggalkan kehidupan lama dan melangkah bersama Kristus dalam mewartakan Injil.
Anne Mahani Maliang selaku pengerusi KEP-4 dalam ucapan penutupnya berkata, “Tahniah Alumni KEP-4! KEP bukan akhir, tetapi awal perjalanan. Langkahmu kini satu dengan Kristus. Teruslah mewartakan kasih Tuhan dengan sukacita dan ketulusan hati.”
Retret itu bukan sekadar program penutup tetapi permulaan hidup baharu dalam pelayanan sebagai murid-murid Kristus yang siap mewartakan kasihNya dalam keluarga, Gereja, dan seluruh dunia.
Di akhir Misa pengutusan ini, Ketua Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu merangkap Ketua Penyelaras KEP Sabah, Sr Dariah Ajap, telah mengumumkan keputusan pengundian pengerusi yang akan menerajui Kursus Evangelisasi Peribadi Angkatan-5 Sabah.
Sr Marysia Angku telah dipilih untuk mengetuai Tim Pelaksana KEP-5 Sabah anjuran Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Sr Dariah berharap yang semua alumni akan memberi sokongan padu kepada pelaksanaan KEP-5 nanti agar ramai lagi dapat mengalami pembaharuan rohani secara peribadi dalam proses menjadi pembawa Khabar Baik Kristus.