
Oleh Herald Malaysia
PETALING JAYA – Sebagai tindak balas kepada kebimbangan kesihatan mental yang semakin meningkat di Malaysia, Komisi Kehidupan Keluarga Keuskupan Agung (AFLC), bekerjasama dengan beberapa orang kaunselor, ahli terapi, ahli psikologi, Pakar Psikiatri Katolik Malaysia (CCTPPM) dan Pelayanan Kehidupan Keluarga Gereja Assumption telah menganjurkan Bengkel Kesejahteraan Mental bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kesihatan mental dalam komuniti Katolik.
Diadakan di Dewan Volle, bengkel itu telah menarik lebih 100 peserta dari pelbagai paroki di seluruh Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Bengkel dikendalikan oleh Profesor Dr Xavier V. Pereira, seorang pakar psikiatri dan psikoterapi yang terkenal.
Berlandaskan model Biopsikososial yang diperkenalkan oleh Dr George Engel, para peserta mengikuti sesi yang menarik dan interaktif, termasuk perbincangan dan kajian kes, bagi mempelajari konsep psikologi yang kompleks dengan cara yang praktikal dan mudah difahami.
Pada hari pertama bengkel, para peserta memberi tumpuan kepada Kesejahteraan Mental: Memahami Tekanan dan Kebimbangan, meneroka simptom fizikal, emosi, tingkah laku dan tekanan psikologi serta kesannya terhadap hubungan.
Keesokkan harinya, sesi Kesejahteraan Mental: Memahami Kemurungan mengajak para peserta meneliti topik-topik seperti pencegahan diri, kesedaran bunuh diri dan strategi untuk menguruskan konflik interpersonal.
Dr Xavier menekankan bahawa walaupun tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan yang semula jadi, bahkan dialami oleh Yesus di Taman Getsemani (Matius 26:36 – 46), ia boleh diuruskan melalui gabungan alat psikologi dan sokongan rohani.
Beliau menggalakkan peserta untuk mencari ketenangan dalam Kitab Suci, mencadangkan Mazmur 23 untuk menenangkan diri dan Mazmur 22 untuk percaya kepada Tuhan semasa penderitaan dan pengabaian.
Selepas bengkel tentang kesejahteraan mental, para peserta semakin menyedari bahawa kesihatan mental adalah penting untuk kesejahteraan peribadi dan komuniti.