
Oleh Will Fred
KENINGAU – Perkahwinan adalah Sakramen suci, tempat Tuhan hadir melalui suami, isteri dan anak-anak.
Pada Mei 16-18 lalu, Majlis Pastoral Paroki (MPP) Katedral St Francis Xavier (KSFX) buat pertama kalinya menganjurkan Retret Pasangan Suami Isteri bertema “The Power of Marital Grace”, di Rumah Retret Keuskupan Keningau (RRKK), Tatal.
Program itu menghimpunkan 29 pasangan suami isteri dari pelbagai paroki di seluruh Sabah demi memperbaharui dan meneguhkan ikatan kasih serta iman dalam perkahwinan Katolik.
Retret itu dipimpin oleh pasukan penceramah dari Pelayanan Hidup Keluarga Keuskupan Agung Pontianak, Indonesia, iaitu pasangan Bro Herianus dan isteri serta Bro Tanto dan isterinya.
Mereka memperdalam pemahaman peserta mengenai Sakramen Perkahwinan serta kuasa rahmat Tuhan dalam kehidupan berkeluarga.
Selama tiga hari, para peserta diperkaya dengan pelbagai sesi rohani antaranya: The Power of Grace, The Grace of Marriage; Membersihkan dan Memperbaiki Jala; Duc in Altum; Keluarga yang Diberkati; I Am a Sinful Man, Oh Lord dan Cinta Segitiga.
Sesi Komitmen dan Penghormatan Salib merupakan kemuncak program apabila di mana para pasangan memperbaharui janji perkahwinan mereka di hadapan Salib Kristus.
Dalam suasana penuh keinsafan, mereka menerima kad janji perkahwinan yang telah diberkati oleh Romo Atus dari Ambon semasa Misa Kudus penutup.
Momen tersebut menjadi lambang kasih yang diperbaharui dalam sakramen suci perkahwinan. Retret itu meninggalkan kesan mendalam kepada para peserta.
Nancy Nelly Joneh, Pengerusi MPP KSFX dan juga Pengerusi Penganjur, berkongsi bahawa ilham untuk menganjurkan program itu timbul selepas beliau sendiri mengalami pelayanan pemulihan keluarga di Indonesia.
Walaupun penganjuran berdepan cabaran kewangan, Nancy bersukacita melihat keluarga dipulihkan dan keakraban kembali melalui seminar itu.
Beliau turut menyuarakan harapan agar retret seperti ini dapat dianjurkan secara percuma pada masa akan datang.
Romo Atus dari Keuskupan Ambon yang berada sebulan di Keuskupan Keningau untuk membantu dalam pelayanan Sakramen-sakramen, memimpin Misa penutup bagi retret tersebut.
Dalam homilinya, paderi mengangkat Keluarga Kudus Nazareth sebagai teladan keluarga Kristian: Santo Yosef sebagai suami yang melindungi keluarga, pendengar dan sabar; Maria sebagai isteri yang penuh kasih, lemah lembut dan taat.
“Kadang-kadang setelah lama berkahwin, kita mudah lupa tujuan asal perkahwinan iaitu untuk kebahagiaan. Namun Tuhan tidak pernah salah dalam menetapkan pasangan hidup.”
Beliau memetik kata-kata mendiang Bapa Suci Fransiskus: “Kita saling memarahi, saling mengecewakan. Tetapi pada akhirnya, keluarga adalah keluarga. Cinta tetap ada.”
Paderi itu mengakhiri homilinya dengan seruan dari Santa Theresia dari Kanak-kanak Yesus, “Jangan biarkan seorang pun yang datang kepadamu pergi tanpa merasa lebih bahagia.” – Herald Malaysia