
Oleh Raychel
KENINGAU – Seramai 416 orang Lektor di Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX), Keningau mengikuti Kursus Asas Lektor dan Rekoleksi Lektor Siri 2 bagi tahun 2025 yang diadakan di Gereja St Raymond, Bulu Silou, Keningau pada 5 Apr 2025. Kursus itu merupakan anjuran Tim Pemantapan Liturgi Paroki Katedral St Francis Xavier.
Kursus itu dibahagikan kepada tujuh sesi dan bermula dengan Pentakthaan Alkitab yang disempurnakan oleh Katekis Jaimiseus Manggata yang melibatkan semua calon Lektor baharu. Seterusnya sesi diteruskan dengan pengenalan Kalender Liturgi yang disampaikan oleh Bibiana Flora Stephen. Beliau berpesan kepada semua calon Lektor agar tidak leka dan mengambil tahu mengenai tahun Liturgi.
Penceramah kedua iaitu Fedelis Emoh melalui sesi Pedoman Mewartakan Iman, para calon Lektor diingatkan bahawa para pewarta menjadi perpanjangan lidah dan mulut Tuhan dalam mewartakan Sabda-Nya. Oleh kerana itu, pewarta Sabda Tuhan dalam liturgi bukan sekadar membaca atau membunyikan teks Kitab suci.
Sesi ketiga iaitu Peranan dan Tanggungjawab Lektor dikongsikan oleh Alfonsus Kopong. Para calon Lektor diberi pesan sebagai seorang pewarta firman Tuhan mereka harus mengambil berat tentang pelayanan apatah lagi setelah menjadi pewarta firman Tuhan.
Seterusnya, Peranan Pemazmur, Muzik dan Koir dalam Liturgi yang disampaikan oleh Nycholas Udog. Sesi ini menumpukan kepada peranan setiap lektor yang terlibat.
Para calon Lektor kemudiannya diinspirasikan dengan sesi Kerohanian Para Lektor yang disampaikan oleh Lily Dayah. Beliau berpesan kepada calon Lektor agar sentiasa memusatkan hidup dengan Yesus melalui empat perkara yang membangun kerohanian para Lektor.
Kursus diteruskan lagi dengan sesi Pengharapan Tidak Mengecewakan oleh Sr Liza. Kesemua calon Lektor diseru untuk mengambil masa mengikuti ziarah bagi membantu iman para Lektor berkembang juga sebagai persiapan iman mereka.
Sesi terakhir disampaikan oleh Nancy Nelly Joneh iaitu sesi Pemantapan Iman Para Lektor. Beliau menasihatkan bahawa seorang lektor seharusnya tidak mempunyai kesombongan diri dalam pelayanan dan harus lebih bersifat terbuka ketika ditegur.
Teguran yang membina amat penting daripada orang sekeliling sebagai satu cara para Lektor untuk berkembang dan juga sebagai satu cara ‘pemurnian dalam pelayanan’.
Nancy Nelly Joneh juga berpesan kepada para Lektor agar mengambil sikap ‘melayani dan bukannya untuk dilayani’ dengan tidak memfokuskan kepada kepentingan diri semata-mata.
Misa penutupan Kursus Asas Lektor dan Rekoleksi Sesi 2 dipimpin Oleh Fr Appolonius Yakis. Dalam Misa tersebut, kesemua Lektor yang baru dilantik dan Lektor lama membaharui komitmen pelayanan mereka.
Fr Appolonius Yakis memberi pesan kepada semua Lektor, ‘Kita semua adalah pelayan yang dipilih oleh Tuhan untuk melayani Tuhan dan sesama. Kesempatan pelayanan ini wajarlah kita hargai dengan melayani sepenuh hati dan dengan kerendahan hati juga melalui sukacita dalam semangat mengasihi Tuhan dan sesama’.