
Oleh SOCCOM St Theresa Kota Marudu
KOTA MARUDU – Kem Kanak-kanak Separoki anjuran Komiti Kateketikal dan Komiti Kerasulan Keluarga Katolik Paroki St Theresa, Kota Marudu telah diadakan pada 29 – 30 Mei lalu, bersempena dengan sambutan Jubli Kanak-kanak Separoki bagi tahun 2025. Seramai 115 kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun mengikuti dan menjayakan kem tersebut.
Kem itu diadakan buat kedua kalinya di peringkat paroki dengan tema ”Kanak-kanak Adalah Harapan Masa Depan Gereja”. Kanak-kanak bersemangat mengikuti kem tersebut.
Antara program pengisian kem tersebut adalah pendaftaran peserta, pujian dan penyembahan, Misa Kudus, permainan dan banyak lagi. Dalam aktiviti permainan, para peserta dibahagikan dalam kumpulan kecil bagi menjalankan tujuh jenis permainan.
Dalam Misa pembukaan yang dipimpin oleh Fr Rayner Bisius, dia menyatakan bahawa dia gembira dan berpuas hati dengan sambutan yang diadakan khususnya untuk kanak-kanak. Paderi itu juga berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan sebagai aktiviti tahunan bagi kanak-kanak di paroki itu.
Pada 29 Mei setelah makan malam, para peserta diberikan ceramah singkat bertajuk ’Tiga Kata Ajaib’ yang disampaikan oleh Jenny Voo, Koordinator Kateketikal Paroki St Theresa. Dalam sesi itu ibu bapa diberi ruang bersama anak-anak mereka dalam perbualan rohani dan sesi saling mendoakan di antara ibu bapa dan anak-anak. Sebahagian besar kanak-kanak bermalam di lokasi program dengan mendirikan khemah di dewan paroki.
Keesokannya, para peserta memulakan pagi mereka dengan tugasan dalam memimpin doa Rosari dan puji-pujian. Seterusnya, mendengar ceramah bertajuk ’Teknologi dan Keluarga’ oleh Marcus D.B Kopong, Koordinator Komiti Kerasulan Keluarga Katolik.
Misa Kudus penutupan bagi kem kanak-kanak dipimpin oleh Fr Jack Johimi Sigam di mana dia turut menyatakan rasa penuh syukur dan gembira atas penganjuran kem tersebut.
Selama dua hari kem itu berjalan, para peserta tidak dibenarkan untuk mengakses telefon pintar.