
Herald Malaysia
KANOWIT, Sarawak – Gereja St Francis Xavier, Kanowit, telah berubah menjadi ruang suci pertemuan, penentuan dan rahmat apabila 18 pemuda berhimpun untuk Kem Promosi Panggilan 4.0 Keuskupan Sibu dari 16 – 18 Jan lalu.
Menggunakan nasihat rasul Paulus sebagai tema, “Saling melayanilah satu sama lain dalam kasih” (Galatia 5:13), kem itu menjemput peserta untuk menemui, mengenali dan menyahut panggilan.
Kem tersebut dianjurkan oleh para seminarian dari Keuskupan Sibu iaitu Seminarian Charles Boromeo, Stephen Suhaili, Natheniel Ezabel, dan Zulio, di bawah bimbingan rapat Pengarah Panggilan, Fr Johanaz Ling.
Fr Johanaz menemani para peserta dengan setia dan sabar bersama anak muda, membimbing mereka membukakan hati terhadap panggilan Roh Kudus.
Uskup Joseph Hii yang memberikan sokongan penuh terhadap kem itu, memimpin Misa Kudus pembukaan.
Dalam homilinya, Uskup Joseph Hii mengatakan, “Setiap umat, dicipta unik dan berbeza untuk orang lain agar kita dapat membantu orang lain mengenali keunikan mereka sendiri.”
Dalam konteks ini, panggilan bukan merujuk tentang diri sendiri tetapi bersifat relasional. Panggilan ialah keteguhan kasih seseorang dalam melayani orang lain, menjadikan rahmat Tuhan yang bekerja di dunia dapat dilihat oleh ramai orang.
Sepanjang program tiga hari tersebut, pandangan kitab suci dan teologi ini diperdalam melalui doa bersama, perayaan Ekaristi, renungan peribadi, dan sesi input formatif.
Para peserta, seramai 18 orang, terdiri daripada lima orang wanita dan 13 orang lelaki, turut didampingi oleh para biarawati dari kongregasi Putri Karmel dan Sisters of St Francis Sarawak (SSFS).
Sesi-sesi lain disampaikan oleh seminarian dari Mill Hill Missionaries, Fr Raphael, OFM Cap, dan Msgr Michael Lee, Vikar Jeneral Keuskupan Sibu.
Melalui sesi-sesi yang disampaikan oleh para paderi, seminarian dan religius, para peserta menemui kekayaan dan kepelbagaian panggilan dalam Gereja untuk melayani umat Tuhan dan membina Tubuh Kristus. – Herald Malaysia












































