
Oleh Jo. Amyx
IDEA untuk menganugerahkan gelaran ‘Bonda Maria Gunung Kinabalu’ telah tercetus daripada ilham Uskup Cornelius Piong sendiri semasa sambutan Sabah Youth Day ke-6 (SYD6) 2024. Gelaran ini secara rasmi dilancarkan pada 30 Sept 2024 di Katedral St Francis Xavier, Keningau.
Gelaran ini mengajar kita untuk melihat dengan mata rohani. Seperti Maria yang ditinggikan oleh Tuhan dan dipersembahkan kepada kita sebagai Bonda, begitu juga Gunung Kinabalu berdiri megah sebagai lambang keagungan ciptaan Tuhan yang memancarkan kebesaranNya. Gunung Kinabalu bukan sekadar sebuah gunung, tetapi puisi alam yang memuliakan kebesaran dan kasih Tuhan terhadap manusia.
Potret Bonda Maria Gunung Kinabalu ini dicetuskan oleh Didiroy Joneh, Pengerusi Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Keningau, dan dilukis secara digital oleh Eva Glenn Robert dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Dalam perjalanan hidup ini, pengalaman peribadi saya bersama Ibu Tuhan menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai. Setiap kali berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji ketahanan fizikal, mental serta emosi, bimbingan dan kasih Bonda Maria memberi saya keberanian untuk bertahan. Dalam detik-detik penuh ketidakpastian, ketika iman terasa goyah dan harapan hampir pudar, Bonda Maria tampil sebagai teladan kesetiaan dan penyerahan diri kepada kehendak Ilahi. Melalui doa dan pengantaraan Bonda Maria, saya menerima kekuatan rohani, pengharapan yang diperbaharui, serta peneguhan untuk terus melangkah dalam iman. Sesungguhnya, kasih Tuhan yang dinyatakan melalui Bonda Maria menjadi sumber ketenangan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan saya.
Dengan dorongan kasih Ilahi, saya mencabar diri untuk membawa imej Bonda Maria Gunung Kinabalu ke puncak Gunung Kinabalu — bukan sekadar satu cabaran fizikal, tetapi sebuah ziarah rohani yang penuh makna. Misi kecil ini telah saya laksanakan pada 31 Mac 2025, dengan rendah hati dan penuh pengharapan.
Meskipun perjalanan pulang diuji dengan hujan lebat sehingga menyebabkan kelewatan, saya tetap bersyukur kerana Tuhan melimpahkan perlindungan dan kelancaran sepanjang perjalanan ini. Lebih membahagiakan, perjalanan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran kakak saya, (Renie) bersama para sepupu yang menjadi teman seperjalanan. Setiap detik dalam perjalanan ini menjadi satu peringatan bahawa dalam ujian dan kelewatan sekalipun, kasih sayang keluarga dan kepercayaan kepada Tuhan adalah bekal paling berharga. Ia bukan sekadar perjalanan pulang, tetapi sebuah perjalanan hati yang penuh erti.
Semoga pengalaman kecil ini menjadi persembahan cinta kepada Bonda Maria, yang sentiasa menunjukkan jalan kepada Puteranya. Kiranya kita semua semakin bertumbuh dalam devosi kepada Bonda Maria, meneladani iman, kerendahan hati, dan kesetiaan Bonda Maria dalam setiap langkah hidup kita.
Bonda Maria, doakanlah kami.