Fr Gilbert James OFMCap bersama Uskup Cornelius Piong semasa hari Pentahbisannya pada 27 Feb di St Theresa Tambunan
Oleh Didiroy Joneh
Mac 3 2021
TAMBUNAN – Kurang dari masa sebulan Keuskupan Keningau telah menerima pentahbisan tiga orang paderi; Fr Wilfred James, seorang paderi keuskupan, Fr Sharbel Francisco de Karem’Ei dari Kongregasi Carmelitae Sincti Eliae CSE dan yang terbaharu Fr Gilbert James dari Kongregasi The Order of Capuchin Friars Minor yang ditahbis oleh Uskup Datuk Cornelius Piong pada 27 Februari lalu di paroki St Theresa di sini.
Fr Gilbert James OFMCap merupakan paderi kedua daripada kongregasi ini yang ditahbis di Keuskupan Keningau selepas Fr Valentine Gompok pada 17 Mei 2003 juga di paroki St Theresa Tambunan.
Dalam ucapannya, Uskup Piong mengucap syukur kepada Tuhan kerana Misa Kudus dan Upacara Pentahbisan ini dapat dijalankan seperti dirancang dan baik sekali.
Beliau berkata Keuskupan Keningau seperti yang kita lihat sekarang makin berkembang sejak penubuhannya pada tahun 1993.
“Inilah harapan kita agar peristiwa seperti ini mendorong kita umat, melalui keluarga masing-masing, untuk sentiasa peka terhadap keperluan gereja, melalui konsep Konsili Vatikan ke-II yang mengatakan bahawa gereja adalah kita,” kata Uskup Piong.
Mengenai konsep ini, Uskup berkata kepada paderi yang baru ditahbis, “Oleh itu kepada semua umat terutamanya kepada paderi baharu yang ditahbis diharapkan agar ini menjadi amalan den pegangan kamu juga, kerana melalui pengalaman saya sendiri terdapat tiga hal yang penting sekali yang dapat membantu kita dalam menjadi taat dalam pelayanan kita.
Uskup dan klergi termasuk tahbisan baru semasa Doa Litani Santo Sangti
Uskup menyatakan tiga hal tersebut, “Yang pertama ialah bangkitkan semangat kekitaan maksudnya antara kamu sebagai religius, menjadi bangga dengan identiti kita kerana jika kita tidak bangga dengan identiti kita, memang kita akan kekurangan sikap ambil peduli dan ini membuatkan kita cenderung mencari perkara-perkara yang lain, duniawi, dan meninggalkan tanggungjawab sebenar.
“Kedua ialah supaya kamu iaitu paderi yang baru ditahbis sentiasa komited kepada misi kamu, iaitu misi sebagai paderi religius dan sentiasa berkembang melihat kecenderungan dunia kerana seluruh dunia adalah kepunyaan Tuhan kita, iaitu sentiasa membawa khabar baik di manapun kita berada.
“Ketiga ialah kita merupakan manusia lemah, kita sentiasa terdorong untuk melayani kehendak sendiri, justeru kita sentiasa ingat siapa yang memanggil dan mengutus kita iaitu Kristus sendiri dan sentiasa memilih melayani dia tanpa henti walaupun banyak pengorbanan yang kita lakukan untuk melayani Kristus, GerejaNya, UmatNya kerana itulah cara yang ditunjukkan Tuhan.
“Segala pengorbanan kita tidak sia-sia dan akan mendapat ganjarannya apabila kita bertemu denganNya kerana hidup kita ini mempunyai destinasi, yang kita yakini ini akan membantu kita, mengawal dan melindungi kita,” ujar Uskup.
Katanya lagi, “marilah kita sebagai umat yang terus berkembang dan bermisi, yang bersifat Komuniti, Komited melalui Visi Keuskupan Keningau umat Allah, berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus.”
Fr Gilbert James bersama keluarganya
Fr Gilbert James, OFMCap
Lepasan graduan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Fr Gilbert James, OFMCap, 42 tahun merupakan anak pertama daripada lima orang adik beradik dan menerima pendidikan awal di SK Monsok Tengah, Tambunan.
Selepas tamat pengajian dia memulakan kerjaya selama dua tahun sebagai Site Engineer dan Design Engineer namun akhirnya meninggalkan kerjayanya dan memilih untuk memasuki rumah pembentukan menjadi religius dan kepaderian.
Berasal dari Tambunan (bahagian ibu) dan juga Papar (bahagian bapa), dia memulakan langkah pertama sebagai postulan di St Felix Of Cantalice Novitiate House, Pulau Pinang pada tahun 2006-2007. Dia bergelar Novis pada tahun 2008-2009 dan menerima Kaul Pertama di St Pio Fraternity, CRC, Lipa City, Philippines pada 3 November 2009.
Tekad dalam pembentukannya, pada tahun 2013 dia telah melafazkan Kaul Kekal di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu dan seterusnya menyambung pengajiannya dalam bidang Filosofi dan Teologi pada tahun 2013 sehingga tahun 2019.
Paderi baharu ini menerima tahbisan sebagai Dikon pada 7 Oktober 2019 oleh Uskup Agung Julian Leow Beng Kim dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur, di Church of St Francis of Asisi, Cheras.
Dia menjalankan kerja-kerja pastoralnya sebagai Dikon di Cathedral of the Sacred Heart of Jesus, Johor Baharu dan seterusnya di St Theresa Tambunan sehingga ditahbis sebagai paderi pada Sabtu lalu.
Di dalam ucapannya, Fr Gilbert berkata benih panggilan suda ada ketika di Sekolah Rendah lagi, “Selalu di benak fikiran, saya tertanya-tanya “Siapakah Tuhan?, Mengapa saya lahir ke dunia?”, namun saya sembunyikan setiap persolan itu dalam diri saya sahaja. Sewaktu di Sekolah Rendah, saya sudah habis membaca seluruh muka surat dalam Alkitab dalam tempoh setahun.”
“Masa bejalan begitu pantas dan semasa dalam Tingkatan Lima, seorang lagi utusan Tuhan datang ke sekolah kami pada masa itu dan bertanya, “Apakah yang anda akan lakukan selepas tamat SPM, adakah anda terfikir untuk melayani Tuhan?” dan perkataan itu benar-benar membuat saya tersentuh, dan keinginan itu sudah mulai berapi di dalam diri saya.
“Namun saya masih ragu-ragu kerana bagi saya sebagai anak pertama dalam keluarga, saya perlu mendapatkan pendidikan yang baik, seterusnya memperolehi pekerjaan yang baik dan membantu keluarga yang hidup susah.
“Seterusnya, babak panggilan bermula apabila saya mengenali Franciscan Sister iaitu Sr Diana Eing, FSIC (kini arwah) yang waktu itu bertugas di paroki Holy Rosary Limbahau, Papar.
Dialah yang memperkenalkan kepada saya misteri penggilan lalu mendorong saya menghadiri seminar panggilan di Bundu Tuhan. Sekembali dari sana, saya utarakan kepada Sr Diana semula bahawa saya ingin mencuba menjadi religius dan akhirnya saya diperkenalkan kepada St Fransiskus dari Asisi.
“Melalui renungannya tentang Allah dan kehidupan telah membuatkan saya lebih memahami Tuhan dan siapa saya kepada Tuhan.
“Syukur kepada Tuhan selepas 13 tahun dalam pembentukan akhirnya puji Tuhan hari ini saya ditahbis menjadi seorang paderi.
“Menjadi paderi bukanlah satu kemuncak dalam pelayanan saya kepada Allah dan sesama tetapi satu permulaan untuk misi yang lebih besar yang diamanahkan Allah kepada saya, akhir kata Fr Gilbert.
Turut hadir dalam Misa Kudus dan upacara pentahbisan ini ialah seluruh keluarga Fr Gilbert James, OFMCap, Fr Rudolf Joannes, paderi paroki St Theresa Tambunan dan pembantu Fr Harry Dorisoh, Msgr. Gilbert Engan, Fr Valentine Gompok, OFMCap, Fr Giovannie Sugau, CSE, Fr Gilbert Lasius, Fr Francis Dakun, Fr David Gasikol, Fr Sharbel Francisco de Karem’Ei, CSE, Fr Wilfred James dan Dikon Rudolf de Aquaviva, CSE.
Para uskup dan paderi yang hadir pada Misa Pentahbisan