
Oleh An Richard
KENINGAU – Komuniti Umat Katolik (KUK) Panui naungan Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) menyambut Pesta Keluarga Kudus dengan penuh kesyukuran pada Ahad, 28 Dis 2025, bertempat di Gereja St Yohanes Penginjil, Panui. Sambutan itu menjadi lebih bermakna apabila ia disekalikan dengan lima perayaan dalam satu majlis yang melibatkan seluruh umat, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Lima perayaan tersebut merangkumi Pesta Keluarga Kudus, Kesyukuran Krismas, Sambutan Hari Santo Penaung KUK Panui, St Yohanes Penginjil, Kesyukuran Penerimaan Komuni Pertama, serta Hari Kanak-Kanak KUK Panui. Gabungan perayaan itu mencerminkan semangat kesatuan dan kekeluargaan umat dalam menghayati iman Katolik secara bersama.
Sambutan bermula dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Romo Louis Meerts. Dalam homilinya, beliau menegaskan bahawa peristiwa Natal pada hakikatnya adalah peristiwa keluarga. Yesus lahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga biasa, Keluarga Kudus Nazaret, yang turut berhadapan dengan ancaman, ketakutan dan kesukaran hidup. Namun, di tengah-tengah cabaran tersebut, kehadiran Tuhan sentiasa membimbing dan memelihara mereka.
Romo Louis menekankan peranan Yosef sebagai teladan iman dan tanggungjawab. Yosef digambarkan sebagai seorang bapa yang tidak melarikan diri daripada masalah, sebaliknya merenungkan kehendak Tuhan dan bertindak taat kepada firmanNya demi melindungi keluarganya.
Maria pula menjadi lambang kesetiaan, ketaatan dan kasih seorang ibu. Kehadiran Yesus dalam keluarga terserlah apabila wujud saling menghargai dan mengasihi antara suami dan isteri. Di situlah Tuhan hadir dan memberkati kehidupan keluarga.
Beliau turut mengingatkan anak-anak akan tanggungjawab untuk menghormati dan mengasihi ibu bapa. Kitab Suci mengajar bahawa anak yang menghormati ibu bapanya akan menerima berkat dan menikmati kehidupan yang sejahtera.
Philip Kuni, Pengerusi KUK Panui, merakamkan penghargaan kepada semua pihak serta para penderma atas sokongan dalam menjayakan majlis tersebut.
Selepas Misa Kudus, umat berkumpul di Dewan Gereja untuk majlis makan bersama serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan, termasuk persembahan pentas, persembahan nyanyian karoke dan permainan interaktif daripada Komisi Belia Katolik (KBK) yang menceriakan suasana.
Secara keseluruhannya, sambutan Pesta Keluarga Kudus ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama umat, malah memperkukuhkan semangat kekeluargaan sebagai satu komuniti yang hidup sebagai keluarga besar dalam Kristus.











































