
Herald Malaysia
KUALA LUMPUR – Sebelum tahun 2025 melabuhkan tirainya, beberapa paderi Katolik dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur, bersama-sama dengan sukarelawan yang berdedikasi dari Kerasulan Penjara Katolik Keuskupan Agung (ACPM), memulakan lawatan pastoral Krismas ke sebelas penjara pusat di seluruh Terengganu, Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada misi berterusan Gereja untuk membawa harapan, iman dan belas kasihan kepada individu yang dipenjarakan, yang sedang mengikuti program pemulihan atau pembangunan sahsiah atau ‘prospek’ serta kepada keluarga mereka.
Semasa lawatan, paderi dan sukarelawan berkongsi firman Tuhan dengan mesra, menawarkan kaunseling dan sokongan rohani, serta merayakan Misa dan memberikan sakramen pengakuan.
Selama lebih empat puluh tahun, ACPM setia dan selalu menyokong pertumbuhan peribadi dan memulihkan maruah para prospek termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada prospek terpilih yang melanjutkan pelajaran tinggi, membantu mereka bersedia untuk menempatkan semula diri ke dalam masyarakat dengan harapan dan tujuan yang baharu.
Kerasulan ini juga memberikan penjagaan yang tulus kepada keluarga para prospek kerana ramai prospek yang menanggung beban emosi, sosial dan kewangan secara diam-diam.
Inisiatif seperti Program Jalinan-Kasih menawarkan beberapa program kepada prospek dan keluarga mereka, di mana mereka boleh berkongsi perjuangan mereka, menerima galakan dan yakin bahawa mereka tidak dilupakan. – Herald Malaysia












































