
Oleh Today’s Catholic
KUCHING – Dalam dunia yang semakin pantas, mencari keheningan adalah sebuah tindakan yang jarang diamalkan.
Baru-baru ini, 51 paderi dari Keuskupan Agung Kuching, Keuskupan Miri dan Sibu memilih untuk ‘berundur’ — meninggalkan paroki dan kesibukan mereka demi mencari sesuatu yang lebih mendalam: iaitu suara Tuhan dalam keheningan.
Dengan tema yang dipetik dari Roma 12:2, “Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu”, para paderi berhimpun di Kolej St Peter untuk Retret Tahunan para paderi selama lima hari.
Direktor retret, Friar Mathew Purayidathi O.F.M. Conv. memimpin retret itu dengan bijaksana, lemah lembut, mengajak para paderi ke dalam keheningan suci melalui Kitab Suci serta doa.
Retret itu mengingatkan para paderi tentang siapa mereka—bukan sebagai pentadbir atau penyelesai masalah, tetapi sebagai anak-anak kesayangan Tuhan.
Salah satu sesi retret itu ialah mengenai hadiah imamat dan misteri selibat. Selibat bukannya menolak hidup berkeluarga tetapi pengesahan radikal—sahutan “ya” yang mendalam dan penuh kegembiraan kepada cinta.
Khususnya dalam Injil Matius 19 dan 1 Korintus 7, para paderi menyelami pelbagai makna imamat antaranya kenabian, misi, rohani dan karismatik.
Seorang paderi mengatakan, “Selibat bukan tentang apa yang kita korbankan—ia tentang kepada siapa kita menyerahkan diri kita.” Ia bukan beban; ia adalah cinta membara yang memacu segala yang kita lakukan.
Retret itu mengesahkan semula bahawa selibat bukan “hidup yang kosong” tetapi “kepenuhan dan persekutuan yang membara dengan Kristus dan umat-Nya.”
Panggilan berkhutbah juga ditekankan dalam retret tersebut. Berkhutbah bukan hanya dengan kata-kata.
Diinspirasikan oleh kehidupan Sto Fransiskus dari Assisi—yang pernah berkata, “Berkhutbahlah tentang Injil pada setiap masa. “Apabila perlu, gunakan kata-kata” — para paderi dicabar untuk menjadi “homili hidup”.
Setiap Misa, setiap perbuatan baik, setiap pengakuan yang didengar atau katil sakit yang dilawati boleh menjadi khutbah yang lebih kuat daripada kata-kata.
Seorang paderi mengungkapkannya dengan indah: “Kita bukan sekadar penyampai Firman — kita dimaksudkan untuk menjadi Firman, ditulis dalam daging dan darah agar dibaca oleh orang lain.”
Retret tahunan kali ini bukan sahaja memperbaharui individu — ia menghidupkan semula persaudaraan dalam kalangan paderi yang membawa mereka menyedari bahawa: Saya tidak bersendirian.