
Oleh Alicia Dora Paul
PENAMPANG – Selepas 65 tahun, paroki St Michael, Penampang sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada sambutan Pesta Menuai atau Kaamatan peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu yang ke-20 pada 1 Mei 2025 dengan tema “Berjalan bersama dalam pengharapan menghidupi kebudayaan sebagai satu keluarga menurut ajaran Gereja.”
Acara sempena sambutan Pesta Kaamatan itu bermula lebih awal lagi iaitu pada 26 Apr di mana beberapa pertandingan sukan tradisi telah diadakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat paroki-paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Seterusnya pada petang 30 Apr, acara dimulakan dengan persembahan bunga api di dataran Gereja St Michael menandakan majlis sambutan Pesta Kaamatan dengan rasminya telah bermula, sekaligus mengalu-alukan kehadiran Apostolic Nuncio ke Malaysia, Archbishop Wojciech Zaluski ke perayaan Kaamatan tahun 2025.
Program pada malam itu diteruskan dengan katekesis Kaamatan oleh Monsignor Nicholas Stephen dan penayangan video cerita rakyat tempatan iaitu legenda Hominodun oleh Friar Gerald Saimel. Satu taklimat berkenaan Pesta Menuai juga telah disampaikan oleh Blasius Binjua agar umat lebih memahami apakah intipati sambutan pesta menuai yang dirayakan oleh suku kaum Kadazan Dusun di Sabah setiap tahun.
Pada pagi berikutnya, perayaan Misa Kudus telah diadakan sempena Pesta Kaamatan yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong. Turut hadir dalam Misa tersebut adalah Uskup Agung Zaluski, para paderi, sister dari kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), religius, ketua-ketua komuniti di paroki dan umat beriman di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Pemandangan di dalam Gereja terasa berbeza dan unik dengan kehadiran umat yang memakai busana tradisi berwarna hitam diserikan dengan renda emas dan perak serta aksesori yang berwarna-warni menyemarakkan lagi semangat para hadirin untuk bersama meraikan Misa Kudus tersebut. Misa Kudus pada pagi itu juga diadakan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Kadazan Dusun.
Homili yang disampaikan oleh Fr Primus Jouil dalam bahasa Kadazan dengan nada yang bersahaja berjaya menarik minat umat yang hadir untuk fokus mendengar. Dengan selitan jenaka, homili yang paderi itu sampaikan disambut dengan gelak ketawa daripada umat. Dengan mengupas tema perayaan hari itu, paderi menceritakan kembali bagaimana Yesus Kristus menampakkan diriNya kepada para pengikut dalam perjalanan mereka menuju ke Emmaus. Melalui bacaan Injil hari itu, “Tuhan menunjukkan bahawa Dia sentiasa ada bersama kita, setia dalam perjalanan kehidupan kita,” sambung Fr Primus lagi.
Fr Primus menekankan betapa pentingnya untuk generasi muda masa kini meneruskan kebiasaan orang tua kita iaitu saling menziarahi antara satusama lain, sama ada dalam situasi senang mahupun susah. Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia sejak dahulu lagi untuk hidup saling tolong-menolong antara sesama terutama ketika musim menanam dan menuai padi supaya kerja dapat disiapkan dengan cepat. Fr Primus juga menekankan nilai murni iaitu amalan suka berkongsi antara sesama.
Selepas doa penutup, sesi ucapan alu-aluan diteruskan di dalam Gereja. Katekis Lewis Juit selaku pengerusi Majlis Pastoral Paroki dan ketua komiti penganjur Pesta Kaamatan tahun 2025 merakamkan setinggi penghargaan kepada setiap individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan perayaan tersebut. Tidak kiralah dalam bentuk kewangan, tenaga ataupun masa, setiap sumbangan dan komitmen amatlah dihargai.
Paderi paroki, Fr Wilfred Atin juga turut merakamkan rasa kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan oleh Uskup Agung John Wong kepada paroki St Michael Penampang untuk menerajui penganjuran Pesta Kaamatan tahun ini. “Syukur kepada Tuhan kerana cuaca hari ini sangat baik,” katanya.
Sama seperti Fr Wilfred, Msgr Nicholas selaku pengerusi tetap penganjur Kaamatan peringkat keuskupan juga menzahirkan kesyukuran atas kejayaan penganjuran Pesta Kaamatan tahun 2025 adalah hasil daripada kerjasama semua pihak, tidak lupa juga kepada individu yang banyak membantu di belakang tabir.
Uskup Agung Zaluski pula dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas jemputan yang diterima daripada Uskup Agung John Wong. Prelatus itu berkata, sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja sebagai acara tradisi kebudayaan tetapi adalah masa untuk masyarakat Kadazan Dusun memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan akan hasil tuaian dan berkat yang diterima sepanjang tahun. Dia juga berharap agar perayaan itu dapat mempereratkan lagi hubungan harmoni dan kesatuan dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan suku kaum lebih-lebih lagi di era globalisasi yang kian mencabar.
Ucapan yang terakhir disampaikan oleh Uskup Agung John Wong. Prelatus itu mengalu-alukan kehadiran Uskup Agung Zaluski serta semua paderi, religius dan umat yang hadir pada pagi itu. Uskup Agung John berkata, “Kaamatan adalah peluang yang baik untuk menghargai pengorbanan Yesus di kayu salib demi manusia. Dalam perayaan Kaamatan, kita juga ingin mengingati setiap berkat Tuhan yang
kita alami. Walaupun dengan banyak cabaran, Tuhan sentiasa bersama kita.”
Selepas sesi bergambar, semua yang hadir berarak menuju ke Dewan Monsignor Wachter untuk upacara pentas kemudian diikuti jamuan makan tengahari. Sambil menikmati hidangan, para hadirin dihiburkan dengan persembahan pentas seperti tarian kebudayaan dan nyanyian dari wakil paroki-paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Perayaan Kaamatan Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu yang pertama dianjurkan di Paroki Penampang ialah pada tahun 1960. Kemuncak kepada acara hari itu adalah gimik pengumuman paroki yang akan menjadi tuan rumah kepada Pesta Kaamatan peringkat keuskupan yang ke-21 pada tahun 2027 nanti di Gereja Sacred Heart, Inobong.