
KOTA MARUDU – Paroki St Theresa Kota Marudu melakarkan sejarah tersendiri apabila telah dipilih menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan Konferensi Wanita Katolik yang dianjurkan oleh Couples For Christ Handmaid of The Lord (CFC-HOLD) pada 20 Okt 2025.
Dengan tema “Kasih Yang Lahir Semula” konferensi itu menghimpunkan ramai wanita yang datang dari pelbagai paroki. Antaranya ialah St Aloysius Limbanak, Paroki St Michael Penampang, Paroki St Catherine Inanam, Paroki Holy Family Telipok, Paroki St Edmund Kota Belud, Paroki St Francis Xavier Keningau, Paroki St Peter Kudat dan tuan rumah Paroki St Theresa, Kota Marudu.
Antara tujuan konferensi itu diadakan adalah untuk memberi penyegaran iman kepada Wanita Katolik agar terus dapat memainkan peranan sebagai penolong sepadan yang diberkati Tuhan. Melalui lima sesi ceramah yang berkisar tentang Kasih Tuhan dan perkongsian tentang perjalanan iman para penceramah dan perkongsian pengalaman yang mengikuti konferensi tersebut. Konferensi seumpama ini merupakan aktiviti tahunan dan mempunyai tema yang berbeza-beza pada setiap tahun. Manakala pemilihan tuan rumah juga sentiasa bertukar tempat pada setiap tahun.
Konferensi pada hari itu bermula jam 8.00 pagi. Para peserta menzahirkan rasa syukur, memberikan respon yang positif atas penganjuran konferensi tersebut. Secara keseluruhannya pelaksanaan konferensi itu mencapai objektif seperti yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Melalui lima sesi ceramah yang telah disampaikan, diselang-seli dengan perkongsian peribadi telah membantu menyegarkan iman dan menambahkan pengetahuan para peserta terutama sekali menyentuh tentang tema pada tahun ini.
Baca berita penuh dalam Catholic Sabah Vol 68 No 22 bertarikh Nov 16 2025.









































