
Oleh Wilfred
KENINGAU – Pada 2 Jun 2025 Komuniti umat Katolik di Keuskupan Keningau bersatu dalam doa serta syukur dalam Misa Kudus Kesyukuran yang diadakan di Katedral St Francis Xavier, Keningau pada jam 5.00 petang.
Misa itu bukan sekadar perayaan liturgi, tetapi turut menjadi detik penuh makna sebagai penghargaan kepada Fr Kennedy Nakudah atas segala khidmat dan dedikasi beliau dalam Komiti KKD (Komuniti Kristian Dasar) Service Team, serta pengutusan kepada Fr Ronnie Luni dan Fr Francis Dakun yang akan memulakan pelayanannya secara rasmi di paroki.
Ruang katedral dipenuhi umat; terdiri daripada ahli keluarga, rakan, para religius dan komuniti KKD dari pelbagai zon untuk bersama-sama dalam perayaan tersebut sebagai tanda kasih serta sokongan mereka.
Suasana penuh syukur dan emosi terasa apabila Fr Kennedy diberikan penghormatan atas kesetiaan dan semangat pelayanannya yang telah membentuk perjalanan rohani KKD di Keningau.
Dalam homilinya, Fr Kennedy menyatakan rasa syukur dan pengharapan bagi semua yang terlibat dalam pelayanan komuniti. Paderi itu menyentuh bahawa melayani bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi satu pelayaran yang membawa kenangan manis dan juga cabaran yang menguji kesabaran, keikhlasan dan kasih kita kepada sesama.
Paderi itu turut mengajak semua yang hadir untuk terus setia dalam pelayanan walau berhadapan dengan kepayahan, keletihan, atau salah faham kerana pelayanan itu sendiri adalah anugerah dan jalan untuk bertemu dengan kasih Tuhan secara nyata.
Fr Kennedy juga berkata bahawa dalam setiap perpisahan atau pertukaran tugasan, Tuhan tetap membawa yang terbaik untuk umat-Nya. Maka, beliau mengajak semua untuk menyambut kedatangan Fr Ronnie Luni dan Fr Francis Dakun dengan hati terbuka serta terus mendoakan satu sama lain agar semangat melayani tidak pernah pudar.
Beliau menutup dengan kata-kata harapan agar damai di dalam pelayanan ini terus berkembang dan menjadi berkat bukan hanya dalam gereja, tetapi juga dalam kehidupan seharian umat. “Tuhan memberkati kita semua,” ujar Fr Kennedy dalam nada penuh kasih dan rendah hati.