
Oleh Nes Sandra Recca Asmin/Soccom Paroki Telupid
TELUPID – Umat Paroki Sto Martin sekali lagi bersyukur atas anugerah panggilan Imamat apabila seorang lagi anak jati Telupid, Ricki Boy Hasim, ditahbiskan menjadi paderi. Pentahbisan ini merupakan yang ketiga dalam sejarah paroki selepas Fr Christopher Ireneus pada tahun 2016 dan Fr Arthur John pada tahun 2022.
Fr Ricki sebelum ini pernah menimba pelbagai pengalaman kerja dalam beberapa sektor, terutamanya dalam bidang perladangan kelapa sawit. Namun, semangat dalam jiwa untuk bekerja di ladang yang lebih luas mendorong beliau meninggalkan kerjaya lama demi menjawab panggilan kepada kehidupan Imamat.
Dalam tempoh lapan tahun, Fr Ricki menjalani pelbagai pendedahan dan pelayanan pastoral. Antaranya adalah: Mount Miriam Cancer Hospital (Pulau Pinang), Penang Cheshire Home (2018), St Dominic (Lahad Datu), Hospital Umum Pulau Pinang (2019), Holy Trinity, Tawau, Campus Ministry dan SPC, Sandakan (2020), St Stephen Bau, Sarawak (2021), Holy Trinity, Tawau (2022), Our Lady of Fatima, Beluran (2023) dan pada tahun 2024 beliau melayani di St Dominic Lahad Datu sehinggalah pada tahun ini beliau melayani di Katedral St Mary Sandakan.
Sebagai pelengkap pembentukan, beliau ditahbiskan menjadi diakon pada 24 Nov 2024 dan akhirnya ditahbiskan sepenuhnya sebagai paderi dalam Misa Kudus Pentahbisan Imamat pada 8 Jun 2025.
Misa Kudus Pentahbisan Imamat berlangsung jam 4.00 petang di Gereja St Martin, Telupid yang disempurnakan oleh Uskup Julius Dusin Gitom disaksikan oleh para paderi, religius, seminarian, ahli keluarga serta ratusan umat yang hadir memberikan sokongan.
Sebelum Misa Pentahbisan bermula, Diakon Ricki duduk bersama ahli keluarganya sebelum dijemput ke hadapan oleh Paderi Paroki Fr Christopher Ireneus untuk upacara pentahbisan. Selesai pentahbisan, paderi baharu terlebih dahulu memberkati uskup, para paderi, serta ahli keluarganya diteruskan dengan sesi bergambar. Majlis kesyukuran diadakan di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung.
Berucap dalam majlis kesyukuran, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pentahbisan, Albert Andau mengucapkan syukur atas kelancaran keseluruhan acara.
“Ini adalah pentahbisan ketiga sepanjang saya mempengerusikan Majlis Pastoral Paroki. Semoga akan ada lagi pentahbisan keempat dan seterusnya,” kata Albert.
Beliau turut berterima kasih kepada semua zon yang telah menyediakan makanan secara potluck untuk dikongsikan kepada semua yang hadir.