
Oleh Helena Salati
TELUPID – Satu majlis penuh kesyukuran telah berlangsung pada 10 Feb 2026 di Paroki St Martin, Telupid dengan perasmian Kumpulan Pelayanan Keluarga Kesihatan, yang dianggotai oleh para petugas kesihatan Katolik yang berkhidmat di Klinik Kesihatan Telupid.
Kumpulan itu sebenarnya telah mula melayani di paroki sejak setahun yang lalu, khususnya dalam pelayanan liturgi. Namun, pelancaran rasmi diadakan sebagai tanda komitmen dan kesediaan mereka untuk terus melayani umat dengan hati yang penuh kasih dan dedikasi.
Majlis perasmian dimulakan dengan Misa Harian yang dipimpin oleh Paderi Paroki, Fr Christopher Ireneus. Selepas misa, acara diteruskan dengan jamuan sederhana yang turut dihadiri oleh umat paroki sebagai lambang persaudaraan serta sokongan komuniti terhadap pelayanan tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Paderi Paroki menegaskan bahawa setiap individu dipanggil untuk menjadi pelayan Tuhan, bermula daripada lingkungan keluarga, tempat kerja, mahupun dalam komuniti gereja. Beliau menambah bahawa Kumpulan Pelayanan Keluarga Kesihatan itu akan menjadi wadah bagi ahli-ahlinya untuk menyalurkan pengalaman, kemahiran, dan kasih mereka dalam pelayanan, bukan sahaja melalui tugas harian, tetapi juga dalam kehidupan gereja. Usaha tersebut diyakini mampu memperkukuh komuniti paroki yang bersatu serta saling menyokong dalam semangat pelayanan.
Majlis tersebut turut menjadi kesempatan untuk meraikan pelayanan pastoral Seminarian Joerexy Jika yang telah menamatkan tempoh pastoralnya di Paroki St Martin Telupid. Paderi menekankan bahawa pembentukan seorang paderi merupakan perjalanan panjang yang memerlukan doa, keterbukaan hati, serta sokongan berterusan daripada seluruh komuniti umat.
Seminarian Joerexy akan meneruskan pengajiannya di General College, Pulau Pinang. Umat yang hadir digalakkan untuk terus mendoakan perjalanan panggilan beliau agar proses pembentukan dapat dijalani selaras dengan kehendak Tuhan.
Paderi turut mengingatkan bahawa panggilan imamat bukanlah suatu jalan yang mudah. Ia menuntut pengorbanan, kesetiaan, serta ketaatan yang berterusan kepada kehendak Tuhan. Setiap peribadi yang dipanggil hendaknya bersandar pada kekuatan doa dan bimbingan Roh Kudus, supaya pelayanan yang dihayati bukan sekadar kewajipan, tetapi menjadi perutusan untuk melayani, membimbing, dan mempersembahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan.
Majlis perasmian itu mencerminkan semangat kasih, kesatuan, dan komitmen komuniti dalam menyokong perkembangan gereja serta pembentukan para pelayan di masa depan. Ia menjadi tanda bahawa setiap usaha pelayanan, walaupun kecil, apabila dilakukan dengan kasih, mampu membawa berkat dan kebaikan yang besar kepada seluruh umat. – dospo










































