
Oleh Today’s Catholic
MIRI – 60 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan guru dari SMK Long Lama telah menyertai Bengkel Laudato Si’ baru-baru ini, di Gereja Blessed Sacramen, Long Lama.
Rektor Paroki, Fr Sylvester Ngau dan empat orang ahli Komisi Keadilan Penciptaan Keuskupan Miri membuat perjalanan darat lebih dua jam, dari Miri ke Long Lama untuk bengkel tersebut.
Tujuan bengkel ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang krisis iklim seperti yang disebut dalam ensiklik Sri Paus Fransiskus, Laudato Si’.
Bengkel Laudato Si’ menampilkan beberapa siri ceramah dan aktiviti kumpulan untuk memupuk pemahaman bahaya krisis alam dan bagaimana mengatasinya.
Para peserta juga didedahkan dengan ringkasan ensiklik Laudato Si’, apakah sahutan Gereja, isu-isu tentang akibat pencemaran plastik dan penyelesaian 7R ke arah penyahkarbon.
Peserta kemudian berpeluang membentangkan cadangan mereka dalam bentuk pelan tindakan praktikal kepada Fr Sylvester Ngau dan berazam menjadikan paroki mereka sebagai paroki ekologi.
Pada sebelah petang, para peserta memasuki sesi Doa Rekonsiliasi dengan Penciptaan, di mana ramai peserta berkongsi renungan peribadi mereka.
Sesetengah berkongsi bagaimana mereka menyedari bahawa mereka, dalam pelbagai cara, juga bertanggungjawab atas kemusnahan rumah kita bersama serta penderitaan makhluk Tuhan di bumi yang dieksploitasi.
Para peserta juga menyedari pentingnya untuk mengubah gaya hidup dan mengajak orang lain agar memilih kehidupan yang mesra alam serta prihatin kepada keperluan golongan miskin.
Mereka diingatkan bahawa jika tidak ada ‘pertaubatan ekologi’, bencana kemiskinan, kebuluran dan alam pasti akan terjadi.
Selepas bengkel, salah seorang peserta berkongsi bahawa, antara semua bengkel kerohanian yang pernah dihadirinya, bengkel Laudato Si’ telah menyedarkannya tentang penderitaan ibu pertiwi disebabkan kegagalan manusia dalam melindungi bumi.
Bengkel itu berakhir dengan seruan melakukan aktiviti kompos di rumah sebagai salah satu cara melindungi alam, dengan menggunakan sisa dapur mereka menjadi baja organik yang selamat bagi bumi. – Herald Malaysia