
Oleh FB Rasmi Gereja Katolik Holy Rosary Limbahau, Papar
MOINDANG, Papar — Hujan yang mencurah-curah pada petang Sabtu, 21 Jun 2025 tidak menghalang ratusan umat Katolik daripada berhimpun di Gereja St Monica, Moindang, bagi meraikan Pesta Corpus Christi dalam Misa Kudus yang penuh keheningan dan makna rohani.
Perayaan dimulakan dengan pemberkatan dan perasmian Chapel Adorasi oleh Monsignor Nicholas Stephen. Dalam ucapan ringkasnya, beliau menegaskan bahawa adorasi merupakan ruang suci untuk perjumpaan peribadi dengan Yesus, dan menyeru umat agar menjadikannya tempat perteduhan rohani.
“Datanglah untuk bertemu Yesus dalam adorasi. Dalam adorasi, kamu tidak perlu pun berkata apa-apa. Biarlah Yesus yang berbicara ke dalam hati kamu,” ujar Msgr, satu pesanan yang mengesankan di hati umat.
Dalam homilinya, Monsignor Nicholas memetik Injil Yohanes 6:55-56 sebagai penegasan bahawa kehadiran Yesus dalam Ekaristi bukanlah simbol semata-mata, tetapi benar-benar nyata dan hidup:
“Sebab daging-Ku adalah benar-benar makanan dan darah-Ku adalah benar-benar minuman. Barangsiapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, ia tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia.” (Yoh 6:55-56)
Mukjizat turut berlaku apabila hujan yang turun sejak awal petang tiba-tiba berhenti sejurus sebelum perarakan Sakramen Mahakudus dimulakan. Alam memberi laluan kepada Raja segala raja apabila cuaca berubah menjadi tenang dan nyaman sepanjang hampir dua jam perarakan ‘mamanau kampung’ merentasi enam buah kampung di Zon Moindang: Kampung Tuntul, Kampung Gana, Kampung Manggis, Kampung Marahang, Kampung Kopimpinan, dan Kampung Tanaki, sebelum kembali ke Gereja St Monica.
Dalam suasana hening penuh hormat, ratusan umat berdiri di sepanjang laluan dengan lilin menyala di tangan, menyambut kehadiran Yesus yang dibawa melintasi halaman dan kediaman mereka. Ada yang berlutut, ada pula yang mengangkat tangan memuji kebesaran Tuhan, bahkan ada yang mengalirkan air mata tersentuh oleh kasih Tuhan yang hadir dan menyapa mereka, walau di ceruk kampung.
Perayaan Corpus Christi kali ini meninggalkan jejak rohani yang mendalam dalam hati umat. Ia menjadi peringatan bahawa Yesus tidak pernah menjauh. Dia hadir, berjalan bersama kita, dan merindukan untuk bersemayam dalam hati yang terbuka kepada-Nya.