
Herald Malaysia
KUALA LUMPUR – “Setiap langkah baharu dalam kehidupan Gereja akan kembali kepada sumber-Nya,” kata Uskup Agung Julian Leow di Perhimpunan Pastoral Semenanjung Malaysia (PMPA) 2025, memetik Dokumen Akhir Sinode. Prelatus itu menggesa Gereja untuk menjalankan misinya dengan keaslian dan keberanian: “Kita mesti bersifat kenabian. Pembaharuan bermula dengan kita — jika tidak, kita akan menjadi seperti gong kosong.”
PMPA, bertemakan “Berjalan Bersama Menuju Gereja Sinodal dan Profetik – Umat untuk Pemuridan Misionari,” telah menarik 100 orang paderi, religius, dan pemimpin awam dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Keuskupan Pulau Pinang dan Melaka Johor dari Ogos 26-27 lalu.
Perhimpunan itu bukan sekadar salah satu acara dalam kalendar Gereja, ia mengingatkan para peserta tentang keindahan dan cabaran memperlahankan langkah, mendengar dengan mendalam, serta menegaskan bersama ke mana Tuhan memanggil kita — bukan hanya secara individu, tetapi sebagai satu tubuh Kristus.
Fasilitator Dr Christina Kheng, seorang ahli teologi dari Singapura dan perunding kepada Persidangan Yesuit Asia Pasifik, memimpin proses tersebut.
Dengan pengalaman luasnya dalam proses sinodal global, beliau menggambarkan sinodaliti sebagai “penilaian kendiri komunal dan rohani seluruh Gereja – langkah terbesar sejak Vatikan II.”
Dr Christine menjejaki akar umbi ‘sinodaliti’ dari Gereja awal hingga visi Vatikan II tentang umat Tuhan, menekankan bahawa pembaptisan adalah asas identiti Kristian.
Katanya, setiap orang yang dibaptis, bertanggungjawab bersama untuk kehidupan dan misi Gereja, dipanggil untuk meletakkan bakat mereka untuk berkhidmat kepada Gereja dan masyarakat.
Sebagai sahutan kepada sesi Dr Christina dalam konteks Malaysia, Sr Margarete Sta Maria, Daryl Tan, Fr Fabian Dicom dan Uskup Agung Julian dijemput untuk memberikan ulasan, menyoroti realiti kehidupan dan cabaran pastoral yang dihadapi di peringkat tempatan.
Semasa Perbualan dalam Roh, peserta berdoa, merenung, dan berkongsi mengenai empat aspek pastoral yang dipilih oleh Konferensi para Uskup Katolik Malaysia iaitu Keluarga, Gereja, Ekologi, dan Masyarakat.
Perbualan ini berdasarkan hasil Perhimpunan Keuskupan dan Perhimpunan Pastoral Wilayah (RPA) yang diadakan pada tahun 2024.
Pada setiap peringkat, pesan-pesan ini jelas bergema dengan kuat iaitu:
• berjalan bersama orang lain, tidak tergesa-gesa mendahului mereka,
• mendengar dengan teliti semua suara, terutamanya belia, wanita, pendatang, dan golongan terpinggir,
• melangkaui klerikalisme dan eksklusiviti ke arah tanggungjawab bersama dan inklusiviti.
Msgr Jude Miranda, pengerusi Pasukan Pastoral Semenanjung Malaysia, mengingatkan para peserta, “Gereja tidak boleh hanya mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum ini. Kita dipanggil untuk hidup dengan cara baharu — sebagai Umat Tuhan yang satu, berjalan bersama.”
Perhimpunan ini juga menegaskan bahawa misi Gereja bukan sekadar tugas, tetapi suatu hubungan yang berakar dalam semangat mendengar. Dari sinilah lahir penyembuhan, keadilan, pertobatan, dan rekonsiliasi.
Seperti yang ditegaskan Dr Christina, kita dipanggil bukan hanya ke luar, tetapi juga ke dalam—untuk membentuk umat yang hidup sebagai saksi Kristus.
Semua langkah ini menuju ke MPC 2026, yang bertema “satu Gereja” dan Uskup Agung Julian dalam amanatnya mengingatkan bahawa perjalanan Gereja adalah spiral—bergerak lebih tinggi dan mendalam, bukan hanya mengulang perkara lama. – Herald Malaysia













































