
Oleh KOMSOS STT
TAMBUNAN – Suasana penuh syukur dan sukacita memenuhi Gereja St Theresa Tambunan apabila umat berkumpul bagi meraikan Perayaan 3 dalam 1, iaitu Ulang tahun ke-106 Paroki St Theresa, Kesyukuran bagi penerima Krisma, serta ‘Welcoming’ Romo Laurensius Malvin Renwarin sebagai paderi pembantu di paroki St Theresa, Tambunan (STT) pada 4 Oct 2025.
Seramai 158 calon Krisma dari Paroki St Theresa Tambunan dan dua calon dari Paroki Holy Cross Toboh Tambunan menerima Sakramen Penguatan dalam Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.
Dalam amanatnya, Uskup mengajak umat untuk terus “berjalan bersama sebagai Umat Tuhan yang membangun komuniti berasaskan kasih dan kesatuan dalam Kristus.”
Uskup menegaskan pentingnya memperbaharui perjalanan iman agar sentiasa berpusat pada Yesus, sumber dan tujuan hidup.
Uskup turut berpesan agar umat memainkan peranan dalam keluarga, komuniti, dan masyarakat dengan semangat kasih, pengharapan, dan kesetiaan kepada Kristus.
Fr Rudolph Joannes, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas kasih dan perlindungan Tuhan yang menyertai perjalanan panjang paroki itu. Beliau mengajak umat menilai iman yang telah bertumbuh selama 106 tahun dan terus komited membina komuniti berasaskan keadilan, keamanan, dan cinta kasih Tuhan.
Fr Rudolph turut menyampaikan tahniah kepada para penerima Krisma serta mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius atas lawatan pastoralnya.
Sementara itu, Jude Badsun, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, menyatakan rasa syukur atas penyertaan Tuhan dan semangat kerjasama semua pihak yang menjayakan perayaan itu. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Uskup, paderi paroki, dan semua komiti atas usaha mereka serta menggalakkan umat yang baru menerima Krisma untuk terus melayani Tuhan di gereja.
“Tuaian memang banyak tetapi pekerjanya sedikit,” ujar Jude sambil mengajak umat untuk mengambil bahagian dalam pelayanan dan bersaksi bagi Kristus.
Selepas sesi ucapan dan bergambar bersama para paderi, MPP, katekis serta para Krismawan dan Krismawati, umat bergerak ke Dewan Connolly untuk meneruskan sambutan dalam suasana persaudaraan. Doa pembukaan dan berkat makanan disempurnakan oleh Fr Nelbart Peter, diikuti pemotongan kek ulangtahun dan nyanyian lagu syukur bersama.
Majlis diteruskan dengan pelbagai persembahan pentas seperti tarian sambutan KDM Kreasi, persembahan koir sinodal STT, cabutan tiket bertuah, persembahan lagu oleh para paderi, serta persembahan khas daripada Uskup yang diwakili oleh Seminarian Brywin serta daripada komuniti belia. Umat turut menikmati jamuan kasih yang melambangkan semangat kekeluargaan dan kesyukuran dalam komuniti paroki.
Perayaan 3 dalam 1 itu bukan sahaja memperingati sejarah panjang Paroki St Theresa yang kini menjangkau 106 tahun, tetapi juga menjadi simbol kesatuan, pertumbuhan iman, dan semangat pelayanan umat Tuhan yang berjalan bersama dalam kasih Kristus.
Perayaan selesai sekitar 6.00 petang dengan Doa Penutup, menandakan berakhirnya satu hari penuh rahmat, kesyukuran dan kasih persaudaraan dalam Kristus.
Sumber: Komsos St.Theresa Tambunan