
Oleh Vera Charlyne
KOTA KINABALU – Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu menganjurkan Siri Seminar “Tuhan Menebus Dunia Kita” kali ke-3 yang berlangsung pada 20 hingga 22 Jun 2025. Penganjuran kali ini merupakan Seminar ke-3 daripada lapan Siri Seminar yang telah disediakan oleh penceramah jemputan, Diakon Prof Dr Sherman Kuek, OFS. Beliau merupakan seorang Diakon Tetap yang melayani di Keuskupan Melaka-Johor (MaJodi) dan berpengalaman dalam menyampaikan seminar dan ceramah apologetik. Seminar ini adalah salah satu usaha Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu untuk membantu para pembimbing memantapkan lagi iman mereka yang melayani sebagai Katekis Pembimbing. Seminar ini bermula dengan Misa Kudus pembukaan yang diadakan pada 20 Jun, dipimpin oleh Fr Paul Lo, selaku Paderi Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu.
Di dalam homilinya, Fr Paul menyatakan akan cabaran dalam pelayanan katekis pembimbing yang membantu pelbagai jenis golongan komuniti iaitu dari anak kecil sehingga dewasa, serta pentingnya untuk menyertai seminar pemantapan iman seperti ini dari masa ke semasa untuk meneguhkan lagi iman.
“Seminar seperti ini juga membantu para Katekis Pembimbing menyedari akan keperibadian Tuhan Yesus sebagai Kristus yang bangkit dan hidup dalam diri umat Katolik,” katanya. Beliau turut menyatakan seminar yang akan disampaikan oleh Diakon Sherman Kuek ini merupakan salah satu khazanah gereja yang kaya sekali untuk iman Katolik kerana membantu para peserta untuk mengenali lebih dalam lagi mengenai ajaran gereja.
Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu disertai seramai 600 peserta yang datang dari 23 buah paroki di bawah naungan Keuskupan Agung Kota Kinabalu, serta sebahagian kecil penyertaan dari Keuskupan Keningau dan Keuskupan Sandakan. Hampir kesemua peserta itu melayani sebagai Katekis Pembimbing PMG atau IKD.
Seminar ini mempunyai lapan sesi yang mengongsikan tentang misi Kristus serta wafat dan kebangkitanNya. Sejak pertama dianjurkan pada tahun 2024, penyertaan katekis pembimbing amatlah menggalakkan dan hampir semua memberikan respon yang positif serta keinginan yang tinggi untuk menghadiri semula seminar ini di masa akan datang. Penganjuran seminar ini adalah sebanyak dua kali setahun, di mana setiap kali penganjuran, ianya merupakan kesinambungan daripada seminar sebelumnya.
Sebelum penutupan program, Ketua Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Sr Dariah Ajap menyatakan rasa syukur serta kegembiraannya di atas penyertaan yang sangat menggalakkan dan berharap agar lebih ramai lagi katekis pembimbing menyertai program pemantapan iman yang telah disediakan oleh pihak Komisi Kateketikal KAKK.
Seminar kali ini telah memberi impak yang benar-benar membuka fikiran para katekis pembimbing mengenai tujuan misi Kristus serta rencana penyelamatanNya bagi umat manusia. Di dalam aplikasi pesanan kumpulan WhatsApp, ramai peserta yang mengucap syukur atas kesempatan yang diperoleh untuk menghadiri seminar itu dan tidak sabar menantikan penganjuran untuk kesinambungan seminar seterusnya.