
Oleh Herald Malaysia
TAMBUNAN – Dalam ucapan alu-aluannya, Uskup Cornelius Piong menyampaikan ribuan terima kasih kepada paroki St Theresa Tambunan yang menjadi tuan rumah tiga perayaan besar Keuskupan Keningau iaitu sambutan Ulang Tahun ke-32 Keuskupan Keningau, Ulang Tahun ke- 32 Episkopal Uskup Cornelius Piong dan Perayaan Kaamatan Keuskupan Keningau tahun 2025.
Selain daripada itu, turut dirayakan ialah Pembukaan Ziarah Gereja St Theresa (STT) dan Pesta Kerahiman Ilahi Peringkat Paroki STT.
Uskup Cornelius mengungkapkan penghargaan atas tim penganjur yang menyelanggarakan tiga sambutan sukacita itu yang bertepatan dengan perayaan Tahun Jubli Harapan.
Perayaan yang penuh makna itu mengangkat tema “Umat Tuhan Berjalan Bersama Dalam Yesus Kristus, Membangun Gereja melalui Institusi Keluarga, Memelihara Bumi sebagai Rumah Kita Bersama, Melayani Sesama tanpa Mengira Agama, Bangsa dan Budaya.”
Dalam pesannya, Uskup Cornelius mengingat hadirin agar berhati-hati terhadap pengaruh-pengaruh yang cuba memecah-belahkan kesatuan Gereja, sambil menegaskan pentingnya membangun komuniti yang peduli, bersaksi dan setia kepada ajaran Tuhan.
Perjalanan selama 32 tahun ini, menurut Uskup Cornelius, merupakan hasil inspirasi dan bimbingan Roh Kudus yang memampukan umat untuk membangun kesatuan yang kukuh.
Uskup Cornelius turut mengumumkan bahawa Gereja Bonda Maria Penolong Abadi, Kemabong bakal diangkat sebagai paroki dan KUK Nabawan pula menjadi mission.
Tarikh pengangkatan kedua-duanya akan diumumkan kelak.
Paderi Paroki STT, Fr Rudolf Joannes menyampaikan syukur dan pujian kepada Tuhan kerana berkat-Nya, umat dapat merayakan ulang tahun itu dengan penuh sukacita.
Fr Rudolf menekankan bahawa tema kali ini mencerminkan pengalaman perjalanan keuskupan selama 32 tahun yang penuh cabaran namun sangat bermakna.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong atas ulang tahun pentahbisan ke-32 sebagai Uskup, dan ulang tahun ke-48 pentahbisannya sebagai paderi. – Herald Malaysia